KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih interim Malaysia, Tan Cheng Hoe bersedia mempertaruhkan tenaga muda apabila Harimau Malaya melayan kunjungan Vietnam dalam separuh akhir pertama Piala ASEAN 2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam ini.
Langkah itu terpaksa diambil susulan beberapa tonggak utama terpaksa diketepikan akibat kecederaan dan komitmen kelab, menyaksikan Cheng Hoe tidak mempunyai banyak pilihan selain membuka ruang kepada muka baharu untuk mengisi kekosongan dalam kesebelasan terutama jentera tengah.
Endrick dos Santos, Jimmy Raymond dan Engku Nur Shakir Engku Yacob terlebih dahulu disahkan tidak dapat beraksi akibat kecederaan, manakala Aliff Haiqal Lau dan Fazrul Amir Md Zaman turut berdepan masalah sama.
Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal pula tidak dapat membantu Harimau Malaya selepas terpaksa meninggalkan kem negara bagi memenuhi komitmen bersama kelabnya, Sporting JAX.
Situasi itu dijangka membuka peluang kepada Daryl Sham, Ibrahim Manusi dan Ziad El Basheer untuk beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi di pentas antarabangsa.
“Buat masa ini, semua sedia maklum bahawa kita mempunyai beberapa masalah di bahagian tengah, terutamanya dengan ketiadaan Endrick, Aliff Haiqal dan Engku Shakir.
“Ini adalah peluang terbaik buat pemain muda seperti Daryl Sham dan Ibrahim Manusi. Kebanyakan mereka akan mengisi kekosongan terbabit. Saya pasti jika pemain ini diberi peluang, mereka akan memberikan yang terbaik.
“Kita perlu menyokong dan memberi dorongan kepada mereka untuk beraksi di pusingan separuh akhir ini kerana bukan semua pemain berpeluang beraksi di peringkat separuh akhir,” katanya dalam sidang media praperlawanan, di sini, semalam.
Cheng Hoe menegaskan cabaran yang dihadapi ketika ini perlu dilihat sebagai motivasi terbesar buat dirinya dengan dia melontarkan kepercayaan kepada barisan pemain yang tinggal untuk menggalas tanggungjawab bagi aksi penting ini.
Jelasnya, beliau percaya gabungan pemain berpengalaman dan pemain yang ada dalam skuad ini ketika ini mampu menghasilkan sesuatu dalam misi memburu keputusan positif yang boleh dibawa bagi aksi kedua di tempat lawan, Rabu ini.
“Kami perlu turun ke padang dengan penuh keyakinan. Fokus kami adalah pada pasukan sendiri dan bukan terlalu memikirkan pasukan Vietnam walau pun kami tahu mereka sangat kuat terutamanya di bahagian serangan.
“Persiapan kami mungkin agak terbatas minggu ini disebabkan isu kecederaan pemain, namun itu bukanlah satu alasan. Kami turut bermain di tempat sendiri jadi kami perlu memanfaatkan peluang dan sokongan daripada penyokong yang sentiasa memberi motivasi.
“Bukan mudah untuk seorang jurulatih menghadapi krisis kecederaan dalam pasukan. Kedalaman skuad agak membimbangkan saya tetapi sebagai jurulatih, saya kekal positif dengan keadaan kecederaan pemain. Saya perlu mencari pilihan dan jalan penyelesaian terbaik untuk kesebelasan utama esok,” ujarnya.
Sebagai rekod, Vietnam hadir dengan reputasi sebagai antara kuasa utama bola sepak Asia Tenggara dan memiliki rekod pertemuan yang memihak kepada mereka sejak kebelakangan ini.
Vietnam memenangi lima pertemuan terakhir menentang Malaysia, termasuk kemenangan 3-1 dalam aksi terakhir Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 pada Mac lalu.
Kemenangan terakhir Malaysia ke atas Vietnam dalam perlawanan kompetitif pada Disember 2014 apabila Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan untuk menang 4-2 dalam separuh akhir kedua Piala AFF di Hanoi. – UTUSAN






