KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan tugas sukar pada aksi separuh akhir kedua Piala ASEAN 2026 menentang Vietnam pada Rabu ini selepas tewas 0-2 dalam perlawanan pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Kekalahan itu menyaksikan Harimau Malaya perlu bangkit memadam defisit dua gol dan memburu kemenangan bagi memastikan impian mara ke final Piala ASEAN 2026 kekal bernyala.
Dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu, Malaysia berusaha memberikan saingan sengit kepada Vietnam, namun gagal memanfaatkan peluang yang dimiliki untuk menghasilkan jaringan.
Vietnam pula tampil lebih berkesan dalam memanfaatkan peluang dan berjaya meraih dua gol yang akhirnya membezakan kedua-dua pasukan selepas 90 minit permainan.
Pada awal permainan, anak buah Tan Cheng Hoe dilihat mampu memberi saingan dan hampir meraih gol awal, namun penyudah tumpul menjadi halangan.
Peluang terbaik hadir pada minit ke-34 menerusi Daryl Sham, namun percubaannya melambung tinggi biarpun penjaga gol Vietnam, Patrick Le sudah tertewas.
Kelekaan pada masa tambahan separuh masa pertama akhirnya menghukum skuad negara apabila Nguyen Xuan Son menyudahkan hantaran lintang Truong Tien Anh untuk Vietnam berada dihadapan 1-0.
Bersambung babak kedua, Malaysia melakukan asakan awal untuk mencari gol penyamaan, namun disiplin pertahanan anak buah Kim Sang Sik menjadi penghalang jentera serangan negara.
Pada minit ke-64, Cheng Hoe menukar taktikal dengan membawa masuk Ibrahim Manusi dan Haqimi Azim Rosli bagi menggantikan Syafiq Ahmad dan Muhamadou Sumareh.
Bagaimanapun, kemasukan dua pemain terbabit tidak banyak mengubah permainan selepas Vietnam menampilkan kawalan lebih kemas khususnya di bahagian pertahanan.
Pada minit ke-85, Malaysia dihukum dengan gol kedua Vietnam menerusi jaringan sendiri Faris Danish Asrul selepas tertamoan bola hantaran Nguyen Quang Hai.
Keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan untuk Vietnam membawa pulang kelebihan dua jaringan menjelang aksi timbal balik pada Rabu ini.
Segala-galanya kini terletak pada aksi separuh akhir kedua apabila Malaysia perlu menampilkan persembahan terbaik untuk menamatkan defisit 2-0 dan merebut tiket ke pentas final Piala ASEAN 2026.-UTUSAN






