LONDON: Manchester United perlu bertindak segera mendapatkan pertahanan Argentina, Cristian Romero walaupun pemain itu mempunyai masalah disiplin.
Legenda The Red Devils, Paul Scholes menyokong cadangan United mendapatkan Romero selepas pemain itu bakal meninggalkan Tottenham musim panas ini.
Romero dilantik sebagai kapten Spurs oleh pengendali Thomas Frank musim lalu selepas menandatangani kontrak baharu selama empat tahun.
“Saya akan pergi dan dapatkan Romero dari Tottenham, Saya tahu dia agak gila. Saya tahu dia mempunyai masalah disiplin.
“Tetapi saya fikir dia boleh menjadi pertahanan tengah yang sangat baik dan saya rasa seseorang seperti Michael (Carrick) boleh benar-benar menenangkannya.
“Dan kita bercakap mengenai sekitar 30 atau 40 juta pound. Ini pemain yang pernah beraksi sebagai pertahanan tengah dan memenangi Piala Dunia.
“Seperti yang saya katakan, saya tahu dia mempunyai masalah, terutama dari segi disiplin,” kata Scholes dalam rancangan The Good, The Bad & The Football.
Fabrizio Romano melaporkan Tottenham dan Atletico Madrid semakin hampir mencapai persetujuan berkenaan yuran perpindahan serta struktur bonus bagi Romero.
Bagaimanapun, kelab La Liga itu dikatakan dalam persediaan mengemukakan tawaran baharu.
Jika Romero menyertai United, Scholes percaya pemain itu adalah jenis pertahanan tengah bertaraf tinggi yang sesuai digandingkan dengan Lisandro Martinez dan Harry Maguire.
“Saya sebenarnya fikir dia akan pergi ke Atletico, tetapi apabila kita bercakap mengenai pemain ‘maverick’. Saya tahu dia pertahanan tengah, tetapi faham maksud saya? Ada sedikit sifat ‘gila’ dalam dirinya,” kata Scholes.
Musim lalu, pemain Argentina itu membuat 32 penampilan dalam semua pertandingan, menjaringkan enam gol dan menghasilkan empat bantuan jaringan. – AGENSI/UTUSAN






