LONDON: Arsenal dan Liverpool terpaksa menyerahkan kepada tribunal untuk menentukan nilai pampasan perpindahan Vincent Joseph selepas kedua-dua kelab gagal mencapai persetujuan menerusi rundingan yang dijalankan.
Pertikaian itu tercetus selepas Arsenal berjaya mendapatkan khidmat penyerang berusia 16 tahun berkenaan yang memilih meninggalkan Liverpool bulan lalu meskipun ditawarkan biasiswa oleh kelab Merseyside tersebut.
Joseph, yang pernah mewakili skuad Bawah 18 Tahun (B-18) Liverpool, dilihat sebagai antara bakat muda paling menyerlah dalam akademi The Reds sehingga menarik perhatian beberapa kelab ternama Eropah termasuk Manchester United, Chelsea, Bayern Munich dan Borussia Dortmund.
Bagaimanapun, Arsenal berjaya memenangi persaingan tersebut apabila Joseph memilih untuk meneruskan perkembangan kariernya di Emirates, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depannya.
Selepas perpindahan itu dimeterai, kedua-dua kelab mengadakan perbincangan bagi menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar Arsenal mengikut peraturan berkaitan pembangunan pemain muda, namun rundingan berakhir tanpa sebarang persetujuan.
Keadaan itu menyebabkan kes berkenaan kini dirujuk kepada tribunal yang akan membuat keputusan mengenai jumlah pampasan yang layak diterima Liverpool susulan kehilangan salah seorang prospek terbaik mereka.
Bagi Liverpool, pertikaian seumpama itu bukan sesuatu yang baharu kerana kelab tersebut pernah melalui situasi sama apabila pemain muda mereka memilih untuk berhijrah ke pasukan lain sebelum menandatangani kontrak profesional.
Kes terbaru melibatkan Isaac Moran yang meninggalkan Liverpool untuk menyertai Newcastle United pada awal tahun ini.
Pemain antarabangsa remaja England berusia 17 tahun itu turut menjadi subjek pertikaian pampasan selepas kedua-dua kelab gagal mencapai kata sepakat.
Tribunal akhirnya memutuskan Liverpool berhak menerima pampasan bernilai tujuh angka dengan jumlah keseluruhan mencecah 5 juta pound (RM27.56 juta), bergantung kepada syarat tambahan yang ditetapkan. – AGENSI/UTUSAN






