KANGAR: Berpeluang menziarahi dan bertemu dengan guru yang banyak berjasa di zaman sekolah menengah cukup bermakna serta istimewa bagi Haziq Asyraf Dun, 33, di sebalik kesibukannya sebagai wakil rakyat.
Kedatangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri merangkap Ketua Pemuda Pas negeri itu ke rumah gurunya, Bokhari Salleh, 63, di Taman Harmoni di sini, disambut dengan penuh kegembiraan selain mereka juga berbual panjang mengimbau kenangan.
Haziq Asyraf berkata, guru Pendidikan Islam semasa dia di tingkatan empat dan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma itu antara yang banyak memberi nasihat dan teguran semasa belajar dahulu.
Katanya, gurunya yang lebih dikenali sebagai Ustaz Bob itu meskipun garang namun cara didikannya cukup ‘sempoi’ dan suka bergurau semasa mengajar di dalam kelas.
Ujarnya yang juga merupakan wakil rakyat paling muda di negeri ini, setiap nasihat dan teguran Ustaz Bob yang dianggap seperti seorang ayah sentiasa meresap ke dalam jiwa.
“Ustaz selalu beri teguran dan nasihat walaupun garang namun sangat bersahaja dalam penyampaian semasa mengajar menyebabkan kami mudah menerimanya pada masa itu.
“Seronok kelas pada masa itu, tidak jemu dan ia sentiasa menjadi kenangan manis yang tidak boleh dilupakan. Banyak kenangan semasa belajar dengan ustaz dan guru-guru lain semasa di SMK Derma.
“Bagi saya, tiada apa yang mampu dibalas hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada insan istimewa yang bergelar guru ini,” katanya yang bersekolah di SMK Derma dari 2004 hingga 2008 itu.
Sementara itu, Bokhari berkata, Haziq Asyraf adalah pelajar yang baik dan cerdik selain sudah mempunyai sifat kepemimpinan sejak berada di bangku sekolah lagi.
Sebagai seorang guru, dia merasa cukup bangga melihat kejayaan bekas pelajarnya itu dan kini sudah bergelar wakil rakyat yang berkhidmat kepada masyarakat.
Ujarnya, Haziq Asyraf juga sangat rajin semasa di dalam kelas selain sentiasa mendengar nasihat dan apa jua teguran.
“Saya juga menganggap Haziq dan bekas-bekas pelajar lain sebagai anak dalam memberi didikan. Teguran atau nasihat kepada mereka (pelajar) adalah seperti seorang ayah.
“Nasihat saya kepada Haziq Asyraf yang berada dalam dunia politik agar terus ikhlas berbakti kepada rakyat dan mendoakan kesejahteraan bekas pelajarnya itu.
“Selain Haziq Asyraf, ada dua ke tiga orang bekas pelajar menjadi wakil rakyat di negeri ini,” katanya yang bertugas sebagai guru lebih 30 tahun. – UTUSAN






