PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk kekal memberi sokongan kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang bergelut dengan emosinya selepas disingkirkan daripada pusingan pertama keirin Sukan Olimpik Paris 2024, awal pagi tadi.
Hannah berkata keutamaannya kini adalah kesejahteraan Azizulhasni selepas insiden malang yang menimpa pelumba berusia 36 tahun itu.
“Sejak dari hari pertama saya tidak pernah bimbang dengan atlet ini (Azizulhasni) dan kesungguhannya untuk melakar kecemerlangan. Dia bermotivasi, bekerja keras dan profesional.
“Saya marah dengan keputusan membatalkan penyertaannya. Pasukan mengemukakan rayuan tetapi keputusan pihak komisar adalah muktamad,” kata Hannah menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya, hari ini.
Hannah menambah supaya semua pihak tidak berhenti memberi sokongan kepada Azizulhasni dalam waktu sukar ini terutamanya kepada keluarganya.
“Terlalu banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan oleh keluarganya selama bertahun-tahun hanya disebabkan ketiadaannya akibat berlatih dan pertandingan di luar negara. Jagalah kata-kata anda.
“Untuk Azizul, saya akan sentiasa menyokong keputusan anda untuk berlumba kerana anda tetap salah seorang atlet terbaik dimiliki oleh Malaysia. Kesejahteraan anda kini menjadi keutamaan kami. Kami sayang anda,” ujar Hannah. – UTUSAN






