PETALING JAYA: Langkah penambahan fasiliti kesihatan terutama hospital dipersoal kerana dikhuatiri tidak dapat menyediakan kakitangan untuk berkhidmat.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Awam Malaysia, Prof. Dr. Jamalludin Ab. Rahman berkata, pembinaan banyak hospital dan klinik sememangnya membawa manfaat kepada penduduk tetapi persoalannya bagaimana Kementerian Kesihatan (KKM) mahu mengisi kakitangan hospital serta klinik baharu.
Kata beliau, ketika ini KKM sedang menghadapi kekurangan kakitangan dan jika lebih banyak hospital serta klinik dibina, ia memerlukan lebih ramai tambahan kakitangan.
“Perlu dipersoalkan apakah kakitangan kesihatan mencukupi untuk bertugas di setiap pusat kesihatan negara, ekoran negara ini masih mempunyai masalah tidak cukup staf perubatan.
“Kekurangan kakitangan akan lebih mendorong kepada kelewatan rawatan diberikan kepada pesakit, pada masa sama keadaan pesakit mungkin semakin kritikal,” katanya kepada Nexbyte.
Dalam Belanjawan 2025, KKM menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM45.3 bilion berbanding RM41.2 bilion pada tahun ini.
RM1.35 bilion daripada peruntukan tersebut adalah bagi menyelenggara prasarana kesihatan termasuk membaiki tandas hospital yang uzur dan wad-wad pesakit yang usang.
Selain itu, kerajaan akan terus menaik taraf klinik-klinik daif seluruh negara dengan peruntukan RM300 juta.
Dr. Jamalludin berkata, pertambahan pusat kesihatan seperti hospital dan klinik secara tidak langsung turut menyebabkan pertambahan penyelenggaraan.
“Keadaan ini membuatkan peruntukan yang diberi pada tahun-tahun seterusnya memberi fokus besar kepada penyelenggaraan yang mengambil kos tinggi, sehingga kesihatan rakyat terabai,” kata beliau.
Sementara itu, pakar perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, selain memfokuskan fasiliti kemudahan kesihatan awam, kerajaan sepatutnya mengambil jalan serius untuk membendung penyakit kronik atau tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan hipertensi.
Menurutnya, tahap kesihatan negara pada masa kini membimbangkan kakitangan perubatan yang mana penyakit tidak berjangkit dalam golongan masih muda semakin meningkat saban tahun.
“Justeru, sebagai kementerian yang menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan, disarankan lebih memfokuskan kegunaan bajet tersebut memperbaiki kualiti kesihatan masyarakat dan mengurangi kebergantungan pada rawatan hospital.
“Antaranya, menyelesaikan masalah kekurangan pakar kesihatan keluarga yang mana mereka melaksanakan tugasan di luar bandar dan terpaksa menguruskan tiga klinik kesihatan awam di kawasan tempat mereka bertugas.
“Dengan meningkatkan pakar kesihatan keluarga di luar bandar, pemantauan kesihatan masyarakat di kawasan berkenaan dapat dijalankan dengan lebih teliti dan sekiranya mereka dikesan mempunyai penyakit kronik maka dapat dikawal lebih awal,” katanya. – UTUSAN






