PETALING JAYA: Harapan Malaysia untuk menguasai acara beregu lelaki di Terbuka Singapura terus menyala apabila dua pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sah akan bertemu sesama sendiri di suku akhir, esok.
Juara Malaysia Masters 2025, Wei Chong-Kai Wun mudah mengatasi pasangan muda China, Huang Di-Liu Yang 21-16, 21-16 untuk menempah pertemuan ‘ulangan final’ minggu lalu.
Wei Chong berkata beliau gembira kerana ini merupakan kali pertama mereka meloloskan diri ke suku akhir kejohanan bertaraf Super 750 berkenaan.
“Saya sangat gembira kerana ini pertama kali kami masuk ke suku akhir di Singapura. Walaupun angin agak kuat, namun kami tahu untuk mengawal keadaan,” kata Wei Chong kepada BWF selepas perlawanan di Stadium Tertutup Singapura, hari ini.
Sementara itu, Aaron-Wooi Yik menamatkan badi lapan kekalahan berturut-turut ke atas pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi menerusi kemenangan penuh dramatik 18-21, 26-24, 21-12.
Aaron berkata, beliau teringat kembali detik perlawanan pada pertemuan terakhir mereka menentang gandingan Jepun berkenaan pada aksi Piala Sudirman, bulan lalu, namun tidak mematahkan semangat beliau untuk bangkit dari ketinggalan set pertama.
“Sememangnya ketika menentang mereka, akan mengimbas kembali pada kekalahan terbaharu di Piala Sudirman. Ketika set ketiga, jurulatih memberi kami banyak motivasi.
“Sejujurnya ianya sangat melegakan (kemenangan) kerana perlawanan itu amat sukar. Sekarang kami meraih kemenangan ke atas mereka dan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan kepada diri kami sendiri,” kata Aaron.
Pertemuan antara dua pasangan negara itu bukan sahaja menjamin satu slot ke separuh akhir, malah membuka ruang buat Malaysia untuk menamatkan kemarau 17 tahun yang dimenangi oleh Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada edisi 2008. – UTUSAN






