KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pecah amanah dana pelaburan RM8 juta melibatkan pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar bermula April tahun depan.
Dalam prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad menetapkan perbicaraan selama 15 hari bermula 13 hingga 17 April 2026.
Beliau turut menetapkan tarikh perbicaraan ialah 18 hingga 22 Mei dan 8 hingga 12 Jun 2026.
Tarikh-tarikh itu ditetapkan selepas ia dipersetujui oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam bela, M. Athimulan yang mewakili pasangan itu.
Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 27 Oktober ini.
Sementara itu, Wan Shaharuddin turut memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil 26 orang sebagai saksi pendakwaan.
Pada prosiding hari ini, Vivy dan Fadzarudin tidak hadir ke mahkamah kerana kehadiran mereka telah dikecualikan.
Pada 5 Disember 2024, Vivy dan Fadzarudin selaku Pengarah FashionValet Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta dengan membuat pembayaran daripada akaun bank FashionValet kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, Plaza Damansara, Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.
Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta ama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Mereka juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menyalahgunakan harta milik dana pelaburan itu di lokasi dan tarikh sama.
Pertuduhan pilihan itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan atau maksimum lima tahun dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN






