KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan secara tidak rasmi kekal menerajui badan induk itu selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan presiden.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bebas Pemilihan Jawatan Tertinggi PSM, Profesor Dr. Mohad Anizu Mohd Nor, jawatan Presiden PSM bakal menyaksikan Sumali kekal sebagai calon tunggal selepas tarikh tutup pencalonan pada 22 Jun lalu.
Bagaimanapun, saingan bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden dijangka berlangsung sengit apabila masing-masing menerima enam dan lapan pencalonan rasmi daripada ahli gabungan dan bersekutu PSM.
Bagi jawatan Timbalan Presiden, Datuk Abdul Halim Suleiman mendahului senarai pencalonan dengan 16 pencalonan, diikuti rapat oleh Datuk Akramuddin Abd Aziz (15 pencalonan) dan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (3 pencalonan).
Turut tersenarai ialah Datuk Abu Jimi Samat (3 pencalonan), Syed Azmir Syed Ahmad (2 pencalonan) dan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (2 pencalonan).
Jawatan Naib Presiden pula menyaksikan Datuk Abu Jimi Samat dan Wan Mohd Husni Abdullah berkongsi kedudukan teratas dengan masing-masing menerima 18 pencalonan, diikuti Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (17 pencalonan).
Calon lain termasuk Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman,Datuk Abdul Halim Suleiman, Datuk Ahmad Zaffry Sulaiman Abdul Rashid Adlie dan Datuk Dr Najmil Faiz Mohd Aris, masing-masing menerima satu pencalonan.
Menurut Dr. Mohad Anizu, Borang Penerimaan Calon akan diedarkan kepada semua calon yang bertanding dan perlu dikembalikan selewat-lewatnya pada 25 Jun ini.
“Mesyuarat Agung Tahunan serta sesi pemilihan akan diadakan pada 29 Jun 2025. Kami komited memastikan proses pemilihan berlangsung secara telus dan profesional demi masa depan sepak takraw negara,” katanya.
Pemilihan kali ini bakal menyaksikan bagi jawatan Timbalan Presiden akan memilih 2 orang calon, manakala jawatan Naib Presiden akan memilih 3 orang calon yang mendapat undian tertinggi.-UTUSAN






