KUALA LUMPUR: Seramai 49,611 penumpang perkhidmatan BAS.MY mendapat manfaat pengangkutan awam percuma membabitkan warga emas, pelajar sekolah dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) setakat Ogos lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, berdasarkan statistik perkhidmatan percuma BAS.MY telah memberi manfaat kepada seramai 38,507 warga emas; 6,381 (pelajar sekolah); 2,914 (OKU) dan 1,809 (siswa).
Katanya, perkhidmatan BAS.MY percuma ditawarkan di negeri masing-masing melalui program Kad Konsesi kepada golongan tersebut.
“Perkhidmatan BAS.MY di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti memberi tumpuan di kawasan ibu-ibu negeri dan sekitarnya, khususnya di luar Lembah Klang.
“Secara keseluruhan, 78 peratus daripada pengguna yang menikmati perkhidmatan bas percuma melalui Kad Konsesi BAS.MY adalah warga emas, diikuti 13 peratus pelajar sekolah, enam peratus OKU dan tiga peratus mahasiswa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka – PH) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan jumlah pengguna Pas Konsesi BAS.MY mengikut negeri dan pecahan peratusan.
Loke berkata, setakat Oktober ini, perkhidmatan BAS.MY telah beroperasi di kawasan Kangar, Kota Setar, Ipoh, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Kuching.
Katanya, perkhidmatan itu juga sedang diperkenalkan secara berfasa di Kota Kinabalu.
“Jumlah pengguna Kad Konsesi BAS.MY paling tinggi adalah di Johor Bahru, Kuching, Ipoh, Seremban dan Melaka,” katanya. – UTUSAN






