KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 syarikat pemegang konsesi lebuh raya mencatatkan kerugian berdasarkan Laporan Kewangan Berakhir Tahun 2024.
Kerugian itu melibatkan konsesi utama termasuk Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), Lebuhraya KL-Karak dan LPT1 (ANIH Berhad), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, turut mencatatkan kerugian ialah Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir (Smart), Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).
Beliau menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai prestasi syarikat konsesi lebuh raya daripada segi untung dan rugi, di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, 15 syarikat konsesi lain mencatatkan keuntungan termasuk PLUS Berhad.
Ahmad dalam pada itu berkata, cadangan pembinaan lebuh raya baharu perlu mengambil kira sama ada projek itu berpotensi memberi keuntungan atau sebaliknya membebankan kerajaan.
“Jika trafik tidak mencukupi, keuntungan tidak terjamin. Contohnya, cadangan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) antara Kuala Terengganu-Kota Bharu dengan anggaran tol RM70 dan kos pembinaan RM10 bilion, belum tentu menguntungkan. Jika rugi, kerajaan terpaksa menanggung kos mengambil alih,” jelas beliau. – UTUSAN






