KUALA LUMPUR: Mahkamah mempunyai kuasa untuk mengarahkan penggantungan lesen memandu sehingga 20 tahun kepada individu didapati memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol sehingga menyebabkan kematian.
Hukuman tersebut adalah bagi kesalahan seterusnya selepas tindakan penggantungan lesen sehingga 10 tahun bagi kesalahan pertama.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, hukuman itu juga selaras dengan pindaan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang menetapkan hukuman penjara mandatori sehingga 15 tahun bagi sabitan pertama mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Bagi sabitan kedua atau seterusnya, hukuman penjara mandatori adalah lebih tinggi iaitu sehingga 20 tahun sebagai langkah tegas mengekang kejadian yang mengancam nyawa pengguna jalan raya.
“Kementerian akan terus memperkukuh penguatkuasaan, pendidikan dan kesedaran masyarakat bagi membendung isu pemanduan di bawah pengaruh bahan terlarang serta memastikan keselamatan jalan raya kekal sebagai keutamaan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman wen Parlimen.
Beliau menjawab soalan Mohd. Hasnizan Harun (PN–Hulu Selangor) mengenai perancangan kementerian meneliti hukuman penjara mandatori 15 tahun terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian termasuk cadangan hukuman lebih tegas seperti penggantungan lesen seumur hidup. – UTUSAN






