KUALA LUMPUR: Penahanan individu termasuk remaja bawah umur oleh polis yang dipercayai cuba menghidupkan semula ideologi kumpulan pengganas Daesh di negara ini, dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan mendapati golongan remaja berkenaan dikesan melayari laman sesawang berkaitan keganasan sekali gus menyangkal dakwaan ahli keluarga yang menyatakan anak mereka sekadar berada di rumah.
Katanya, kumpulan pengganas itu dikesan mempunyai struktur organisasi berbilang lapisan dengan golongan belasan tahun sering dieksploitasi serta dilatih oleh pemimpin berusia lingkungan 30-an dan 40-an melalui penyebaran doktrin secara dalam talian.
“Anak-anak ni mungkin umur 17, 18 tetapi di atas mereka ada yang melatih berusian 30-an atau 40-an.
“Bukan hanya di Malaysia tetapi juga di negara serantau yang lain. Jadi ianya jauh lebih kompleks daripada itu,” katanya dalam sidang akbar selepas Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Pada 6 Mac lalu, PDRM berjaya melumpuhkan cubaan menghidupkan semula ideologi kumpulan itu menerusi penahanan enam suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun, termasuk tiga remaja bawah umur.
Dalam perkembangan berasingan, bagi mendepani sebarang kemungkinan kesan jangka panjang konflik di Asia Barat, katanya, Jemaah Menteri telah mempertanggungjawabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan untuk merangka perancangan senario bagi memastikan keselamatan negara terus terjamin.
“Dalam mesyuarat kabinet, Perdana Menteri ada menyebut sekurang-kurangnya ada dua agensi kawal selia iaitu Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri untuk melakukan risikan yang melibatkan satu pengumpulan maklumat yang tepat dan sahih.
“Bagaimana sekiranya, sengketa ini berterusan dalam tempoh sekarang sehingga enam bulan lagi? Kesemuanya itu adalah dalam usaha yang sedang kami siapkan,” katanya. – UTUSAN






