JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan memperluas pelaksanaan Inisiatif Perumahan Kasih Johor dengan memperkenalkan bantuan deposit sewa rumah berjumlah RM1,000 kepada penerima yang layak, tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya menyasarkan seramai 10,000 pemohon akan menerima manfaat tersebut bagi pelaksanaan fasa pertama inisiatif berkenaan.
Menurut beliau, bantuan deposit sewa rumah berkenaan turut dibuka kepada penjawat awam persekutuan sebagai menghargai perkhidmatan yang diberikan terhadap rakyat negeri ini.
“Selepas melaksanakan inisiatif Perumahan Kasih Johor, saya terima aduan agar dipertimbangkan bantuan deposit untuk sewa rumah terutamanya bagi mereka yang baharu mula bekerja dan tidak mampu membayar deposit sewa.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) akan meluluskan skim baharu iaitu Bantuan Deposit Sewa Rumah Bangsa Johor,” katanya pada Majlis Penyerahan Perumahan Kasih Johor Fasa 5, di Arena Larkin, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Eksekutif PKPJ, Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Zaidi Japar.
Tambah Onn Hafiz, antara golongan sasar inisiatif berkenaan termasuklah jururawat, guru, polis dan anggota tentera.
“Sebagai contoh, kakitangan kerajaan Persekutuan yang berhijrah dan berkhidmat di negeri ini, kita akan pertimbangkan bantuan ini untuk mereka. Ini bermakna, mereka yang bermastautin dan berkhidmat di negeri ini layak terima bantuan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, mengulas tentang program, beliau berkata pihaknya memperuntukkan sebanyak RM22 juta bagi menyampaikan bantuan perumahan kepada seramai 6,000 penerima.
“Pada fasa keenam kelak, kita akan sampaikan bantuan sama kepada seramai 5,000 lagi penerima. Ini merupakan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat Johor khususnya dalam aspek perumahan,” katanya.
Perumahan Kasih Johor menyediakan bantuan kewangan melibatkan Bantuan Beli Rumah Pertama sebanyak RM5,000; Bantuan Masuk Rumah Pertama (RM2,000) dan Bantuan Sewa Rumah berjumlah RM2,500 bagi penerima yang layak.-UTUSAN






