JOHOR BAHRU: Satu laluan penghubung terus antara Rapid Transit System Link (RTS Link) di Stesen Bukit Chagar dan KTM Komuter di JB Sentral akan dibina bagi memudahkan pergerakan pengembara kedua-dua perkhidmatan berkenaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembinaan projek tersebut telah diluluskan Kementerian Ekonomi dengan peruntukan berjumlah RM60 juta.
Katanya, projek tambahan itu akan membantu usaha pengintegrasian perkhidmatan RTS Link sekaligus membantu penyuraian trafik apabila projek berkenaan beroperasi sepenuhnya, tahun depan.
“Kita telah dapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi untuk membina satu laluan penghubung secara langsung antara KTM Komuter dan RTS Link, laluan ini merupakan laluan jejambat.
“Kosnya sebanyak RM60 juta dan akan mula dibina secepat mungkin. Tempoh pembinaan dijangka memakan masa selama 12 bulan,” katanya ketika melakukan tinjauan kerja rasmi ke Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar bagi melihat perkembangan terkini projek RTS Link, di sini hari ini.
Tambah Siew Fook, projek berkenaan akan memendekkan lagi tempoh berjalan pengembara antara kedua-dua perkhidmatan, kerana tidak perlu melalui pintu utama KTM Komuter di JB Sentral seperti biasa.
“Apabila siap kelak, akan ada satu platform khas untuk pengembara berjalan terus ke KTM Komuter, ini akan jimatkan waktu pejalan kaki. Ia jua satu usaha untuk menyokong penggunaan perkhidmatan awam bagi penyuraian trafik di sini.
“Sementara itu, cadangan pembinaan Projek Aliran Transit Automasi Bertingkat (E-ART) juga akan mengambil kira pengintegrasian dengan RTS Link apabila ia dilaksanakan kelak. Sehubungan itu, RTS Link akan dihubungkan dengan pelbagai mod pengangkutan termasuklah bas, KTM Komuter, e-hailing dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, mengulas tentang tambah perkhidmatan RTS Link, beliau memberitahu perkara itu akan diumumkan secara bersama oleh Menteri Pengangkutan kedua-dua negara terlibat, iaitu Malaysia dan Singapura.
“Berkenaan tambang, ini merupakan projek bilateral dua negara, jadi tarikh muktamad operasi dan juga tambang akan diumumkan secara bersama dalam satu majlis rasmi kelak,” katanya.-UTUSAN






