SHAH ALAM: Putera Arsyad Danish Afrizan menutup penampilan terakhirnya di Sukan Malaysia (SUKMA) dengan kejayaan mempertahankan emas kategori kyorugi bawah 68 kilogram (kg) lelaki selepas menewaskan Joseph Wong dari Sarawak 2-0, hari ini.
Atlet Pahang berusia 20 tahun itu mengesahkan kemenangan menerusi keputusan 16-2, 18-13 pada aksi final di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam untuk mengulangi kejayaan menewaskan lawan sama dalam perebutan emas di SUKMA Sarawak 2024.
Kejayaan itu turut melengkapkan koleksi dua emas Putera Arsyad pada edisi Selangor selepas dia sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam kategori berkenaan, selain menjadikan pengalaman pada edisi lalu sebagai bekalan menghadapi tekanan lebih besar kali ini.
“Pengalaman itu banyak membantu saya dan memang ada tekanan kerana saya berada dalam program pembangunan kebangsaan, jadi saya perlu menang pada SUKMA kali ini,” katanya.
Selepas menutup tirai SUKMA dengan rekod dua emas, Putera Arsyad kini mengalihkan perhatian kepada sasaran lebih besar apabila mengimpikan tempat dalam skuad Malaysia ke Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di negara sendiri.
“Sasaran seterusnya adalah Sukan SEA dan itu sasaran saya untuk pergi ke sana serta memenangi pingat,” katanya. – UTUSAN






