PETALING JAYA: Sasha Alyssa Philip muncul penyumbang emas pertama Selangor dalam sukan olahraga pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas mengungguli acara lempar cakera wanita di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Atlet berusia 18 tahun itu menghasilkan lontaran sejauh 44.93 meter (m) untuk meraih emas, selain memperbaharui catatan peribadi terbaiknya dalam saingan berkenaan.
Pingat perak menjadi milik wakil Perlis, Farhana Izurein Faizalamizul dengan 44.29m, manakala atlet Sarawak, Pauline Ului melengkapkan podium dengan catatan 43.24m.
Sasha berkata, kejayaan tersebut turut menyuntik keyakinan untuk terus memperbaiki prestasi selepas berjaya mencapai sasaran memperbaharui rekod peribadinya.
“Sasaran saya adalah untuk memperbaharui catatan peribadi terbaik dan saya harap dapat terus memperbaiki prestasi serta melakukan catatan lebih baik pada kejohanan akan datang,” katanya.
Bagaimanapun, rekod temasya masih belum terusik apabila catatan 46.66m milik atlet Negeri Sembilan, Yap Jeng Tzan, yang dilakukan pada SUKMA Terengganu 2008, kekal sebagai tanda aras acara lempar cakera wanita. – UTUSAN






