KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam meluluskan tiga lagi Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi selain Kementerian Pengangkutan yang menjadi kementerian kelima melalui proses undian belah bahagian.
Dalam undian berkenaan 109 wakil rakyat menyokong, 94 tidak menyokong dan 17 tidak hadir sekali gus menyaksikan Perikatan Nasional (PN) terus mendominasi ‘perlawanan’ selepas mencipta kemenangan ke-14.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun turut mengarahkan pemerhati bagi setiap ketua blok ketika undi berbelah bahagi dilaksanakan.
Setiap pemimpin blok yang membuat pengiraan akan dipantau oleh seorang ahli Parlimen daripada pihak lawan.
Proses tersebut dilaksanakan selepas Anthony Loke Siew Fook (Seremban-PH) tidak berpuas hati dengan perbahasan Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang disifatkan beliau tidak menjawab soalan diajukan.
Dalam perbahasan penggulungan tersebut, Ka Siong turut memberi penjelasan tentang perbelanjaan perbicaraan MH17 yang menelan kos RM23 juta.
“Kita tanggung 30 peratus daripada keseluruhan kos perbicaraan dengan meliputi kos guaman serta mahkamah. Ini pesawat Malaysia dan kita nak pastikan mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya dalam perbahasan penggulungan di Dewan Rakyat semalam.
Kementerian Pengangkutan menerima RM14.4 bilion, Kementerian Kerja Raya RM7.35 bilion manakala Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi menerima peruntukan RM935.4 juta selain peruntukan tambahan RM38 juta.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dalam penggulungannya berkata, kerajaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan rundingan atau pengumuman pihak swasta berhubung perolehan vaksin Covid-19.
“Kerajaan tiada kena mengena dengan pengumuman pihak swasta. Tetapi syarikat boleh berunding untuk menjadi ejen. Kita tidak kawal apa-apa jika mereka mahu buat perjanjian komersial dengan syarikat pengeluar vaksin di luar.
“Jika mereka tidak dapat kelulusan daripada ‘Clinical Research Malaysia’, mereka tidak boleh buat ujian klinikal di sini. Jika mereka tak dapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), mereka tidak boleh bawa vaksin itu ke Malaysia,” katanya.
Perbahasan semalam tertumpu kepada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Alam sekitar dan Air. – UTUSAN






