KUALA TERENGGANU: Golongan ibu bapa tidak perlu bimbang dengan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana proses penilaian pembelajaran murid sepanjang enam tahun di sekolah tetap diutamakan menerusi mekanisme sedia ada.
Presiden Alumni Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS), Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, antara mekanisme itu adalah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) di samping Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dan Ujian Kecederungan Kemasukan MRSM (UKKM).
Katanya, menerusi PBD, murid-murid dinilai di bilik darjah di samping aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta psikometrik.
“Pentaksiran bilik darjah bukan bersifat peperiksaan, sebaliknya anak-anak dinilai sepanjang tahun berdasarkan pemerhatian yang dibuat oleh guru diikuti lisan, bertulis dan projek.
“Walaupun UPSR dimansuhkan, murid-murid masih perlu melipatgandakan keupayaan mereka dalam menguasai kandungan pembelajaran di samping mengaplikasikan konsep sains dalam kehidupan seharian,” katanya kepada Nexbyte, di sini semalam.
Kementerian Pendidikan mengumumkan pemansuhan UPSR mulai tahun ini manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pula dibatalkan untuk tahun ini.
Sehubungan itu, Syed Anuar berharap penglibatan ibu bapa bersama pihak sekolah dipertingkat melalui persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) bagi memastikan golongan itu tidak keliru atau bimbang dengan keputusan terkini kerajaan. – UTUSAN ONLINE






