PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia mengkaji penggabungan ciri Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menambah baik sistem percukaian negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun, pangkal sistem percukaian negara masih berasaskan SST.
“Kita terbuka untuk kaji (penggabungan GST dan SST) untuk perbaiki sistem percukaian. Tetapi kalau nak bercakap pasal GST sahaja, saya punya kebimbangan seperti yang saya lahirkan berulang kali, ini nak kenakan cukai kepada rakyat.
“Walaupun dikatakan tidak (kenakan cukai kepada rakyat), tetapi cukai rakyat ini bermakna orang yang tak pernah bayar cukai, mesti bayar juga. Bagaimana kita nak jawab dalam keadaan sekarang dengan kos sara hidup dan beban rakyat.
“Sebab itu kita guna pangkal SST, tetapi kalau ada beberapa penyesuaian, boleh kita lakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis libat urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan menerima beberapa ciri dalam GST yang dilihat sesuai untuk dimasukkan dalam sistem percukaian negara.
“Pangkalnya masih SST. Tetapi kalau ada beberapa ciri (SST) yang boleh kita terima, kita terima. Namun saya tidak mahu bertolak ansur dan tidak mahu cukai dikenakan ke atas rakyat secara menyeluruh, seperti mana pangkal pandangan dalam GST.
“GST itu broad-based tax, kita mengenakan cukai kepada semua rakyat. Saya tidak setuju,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan khusus untuk golongan M40 dalam Belanjawan 2027, Anwar berkata, kerajaan telah menyenaraikan beberapa keutamaan bagi meringankan beban golongan berkenaan. – UTUSAN






