KUALA SELANGOR: Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh bermula esok ternyata memberi rezeki kepada peniaga di Pasar Awam Pasir Penambang di sini.
Tinjauan Nexbyte mendapati rata-rata jualan peniaga di pasar awam tersebut meningkat dan habis lebih awal selain pelanggan yang mengunjungi pasar awam tersebut lebih ramai berbanding hari biasa.
Salah seorang peniaga ayam, Nurlela Suhaimi, 33, berkata, biasanya stok ayam yang dibawa sejak pelaksanaan PKP kira-kira 20 ekor sahaja.
“Namun, melihat pelanggan agak ramai sejak semalam, saya telah membawa stok ayam lebih banyak berbanding sebelum ini.
“Alhamdulillah, 30 ekor ayam yang dibawanya habis terjual kira-kira pukul 12 tengah hari iaitu dua jam sebelum operasi pasar terbabit tamat.
“Di sebalik pengumuman ini, ia memberi rezeki kepada kami peniaga pasar yang hanya bergantung menjual ayam,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini
Terdahulu, tinjauan mendapati suasana di pasar itu terkawal walaupun jumlah pengunjung agak ramai. Semua pengunjung mengikuti prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menyukat suhu badan dan mendaftar kehadiran di aplikasi MySejahtera.
Sementara itu, seorang peniaga sayur, Nuraisyah Ahmad, 21, berkata, jumlah pengunjung pasar awam berkenaan hari ini lebih sedikit berbanding semalam.
Jelasnya, walaupun terdapat peningkatan pengunjung, menurutnya, situasi di pasar terkawal dengan kehadiran beberapa anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Negara (Rela) yang mengawal kemasukan pengunjung.
“Kebanyakan mereka membeli barangan susulan pengumuman PKP dan antara sayuran yang habis terjual seperti cili, timun dan bendi.
“Malah, hari ini juga kehadiran pelanggan amat menggalakkan dan saya berharap semua jualan dapat habis awal,” katanya yang telah berniaga pasar itu sejak lapan tahun lalu. – UTUSAN ONLINE






