KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk golongan berumur 12 hingga 17 tahun divaksinasi kerana risiko komplikasi jangkitan atau kematian akibat Covid-19 bagi golongan remaja dan kanak-kanak amat rendah.
Walaupun Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sudah meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer BioNTech ke atas golongan berkenaan, vaksinasi seharusnya ditumpukan kepada kumpulan berisiko tinggi.
Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar bagaimana pun berkata, ini tidak bermakna kanak-kanak dan remaja dinafikan hak untuk mendapat imuniti bagi mengelakkan jangkitan.
“Memang mereka masih boleh dijangkiti tetapi risikonya kurang bahkan kadar kematian juga sangat rendah. Jadi apa gunanya beri kepada mereka kalau kadar kematian rendah?
“Memang ada kanak-kanak yang sudah divaksin dan keberkesanannya telah terbukti tetapi kajian dijalankan hanyalah dalam peratusan yang kecil sahaja.
“Cara yang terbaik untuk mereka adalah duduk sahaja di rumah. Ibu bapa jangan membawa anak-anak ke luar,” katanya ketika dihubungi Nexbyte di sini semalam.
Semalam, PBKD meluluskan vaksin Comirnaty ke atas golongan berusia 12 tahun namun keutamaan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi atau golongan komorbid.
Untuk rekod, Moderna Inc. memulakan kajian keberkesanan vaksin Covid-19 keluarannya terhadap 6,750 kanak-kanak berusia enam bulan hingga 11 tahun di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada dan syarikat farmaseutikal itu sudah pun memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada kumpulan pertama kanak-kanak yang terlibat.
China menjadi negara pertama meluluskan penggunaan vaksin kepada kanak-kanak seawal tiga tahun namun, belum dapat dipastikan bila golongan dalam lingkungan usia itu akan menerima dos pertama vaksin.
Singapura pula melalui Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 untuk golongan kanak-kanak berusia antara 12 hingga 15 tahun dan Jerman bakal menawarkan vaksin untuk golongan dalam lingkungan usia sama.
Mengulas lanjut, pakar virologi itu berkata, strategi vaksinasi seharusnya lebih aktif dengan menumpukan kawasan yang perlu tanpa melalui proses pendaftaran yang sulit.
“Contohnya, jika ada satu kluster positif Covid-19 berlaku di kawasan tertentu, pihak berwajib patut pergi ke kawasan tersebut dan jalankan vaksinasi mengelilingi kluster itu.
“Tak perlu daftar dahulu, terus bergerak ke kawasan itu dan buat vaksinasi mengelilingi sesuatu kawasan. Ini boleh mempercepatkan proses vaksinasi dan mengurangkan kadar jangkitan,” katanya. – UTUSAN ONLINE





