PUTRAJAYA: Mengugut isteri dengan perceraian atas alasan melarang pengambilan vaksin Covid-19 tidak melambangkan kebertanggungjawaban seorang suami dalam membentuk keluarga Islam.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, mengikut situasi itu, lafaz cerai tersebut dikategorikan dalam lafaz taklik iaitu disyaratkan atau digantungkan dengan sesuatu perkara.
Sebagai contoh, menurut beliau, seseorang suami menyebut “Jika saya memukul awak lagi selepas ini, maka jatuh talak satu ke atas awak’’ atau “jika semalam, awak keluar rumah, maka jatuh talak satu ke atas awak” atau “apabila tiba 1 Syawal, maka jatuh talak satu ke atas awak”.
Dalam hal ini, kata beliau, dari segi amalan perundangan negara ini, suami tidak boleh sewenang-wenangnya membuat lafaz cerai tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada mahkamah syariah.
“Jika dibuat tanpa kebenaran, ia menjadi satu kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 124 perceraian di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam.
“Jika berlaku juga lafaz tanpa kebenaran mahkamah, maka ia hendaklah segera dirujuk ke mahkamah syariah untuk ditentukan sah atau tidak lafaz itu. Mahkamah akan membuat siasatan sepenuhnya tentang apa yang berlaku, lafaz yang dibuat dan sebagainya sebelum mengeluarkan hukum sama ada sah atau tidak,” katanya di sini baru-baru ini.
Beliau mengulas kisah tular mengenai seorang isteri yang telah mengambil dos pertama vaksin Covid-19 secara ‘senyap-senyap’ kerana suaminya tidak mahu mengambil vaksin berkenaan dan kebetulan mereka pasangan jarak jauh.
Namun si isteri dalam dilema apabila ketika berborak dengan suaminya mengenai vaksin, si suami berkata jangan ambil vaksin dan menambah: “Jika ambil juga, jatuh talak”.
Menurut Mohd. Na’im yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), di bawah Seksyen 54, seseorang yang menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, hendaklah dalam masa tujuh hari daripada lafaz itu melaporkan kepada mahkamah.
Katanya, mahkamah hendaklah mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talak yang dilafaz itu adalah sah mengikut hukum syarak.
“Jika mahkamah berpuas hati bahawa talak dilafazkan adalah sah mengikut hukum syarak, maka mahkamah hendaklah, tertakluk kepada Seksyen 124 iaitu (a) membuat perintah membenarkan perceraian dengan talak; (b) merekodkan perceraian; dan (c) menghantar salinan rekod itu kepada pendaftar yang sewajarnya dan kepada ketua pendaftar bagi pendaftaran.
“Dalam isu lafaz cerai jika isteri mengambil vaksin, dari aspek rukun sighah, ia boleh dikatakan berbentuk taklik, kerana disyaratkan dengan mengambil vaksin.
“Bagi menentukan hukumnya pula sama ada sah atau tidak, ia perlu kepada siasatan penuh, mesti melihat kepada semua aspek rukun. Bukan rukun sighah sahaja dilihat dan terus dihukum sah atau tidak,” katanya.
Katanya, di sinilah peranan mahkamah syariah iaitu menjalankan siasatan penuh, mengambil dan merekodkan fakta daripada suami dan isteri tentang apa yang sebenarnya berlaku sebelum, semasa dan selepas kejadian selain melihat lafaz yang sebenarnya dibuat, bagaimana ia dibuat, dan lain-lain.
“Kemudian, dengan semua fakta diperoleh dan diukur di atas neraca hukum, barulah mahkamah syariah akan mengeluarkan hukum sah atau tidak lafaz tersebut (perintah),” katanya. – UTUSAN ONLINE






