PELANTIKAN Afrah al-Zouba sebagai Menteri Luar Yemen mencipta sejarah apabila beliau menjadi wanita pertama memegang jawatan itu dan jawatan Kabinet utama negara berkenaan.
Namun, pencapaian itu bukanlah sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata. Perjalanan Afrah ke pentas politik tertinggi Yemen dibina menerusi kerjaya selama puluhan tahun dalam bidang pembangunan, diplomasi dan rundingan politik penting negara.
Afrah menghabiskan lebih 25 tahun dalam bidang pembangunan dan pembinaan keamanan sebelum menyertai kerajaan. Pada Februari lalu, beliau dilantik sebagai Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa, selepas sebelum itu mengetuai badan yang menguruskan bantuan asing untuk Yemen.
Nama Afrah mula dikenali di peringkat nasional selepas revolusi 2011.
Beliau ketika itu dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung pertama Persidangan Dialog Kebangsaan, sebuah badan peralihan yang bertanggungjawab mengemudi Yemen keluar daripada era pemerintahan bekas Presiden Ali Abdullah Saleh, selain membantu merangka perlembagaan baharu negara itu.
Afrah berasal dari al-Bayda di tengah Yemen. Beliau pada awalnya mengikuti pengajian dalam bidang farmasi dan memperoleh ijazah sarjana muda dari Universiti Sanaa, sebelum melanjutkan pengajian sarjana dalam kesihatan komuniti dan ekonomi kesihatan di Malaysia.
Beliau kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Sains dan Teknologi di Yemen.
Gabungan latar belakang dalam bidang kesihatan, ekonomi dan pengurusan itu menjadi asas kepada kerjayanya yang semakin tertumpu kepada dasar pembangunan dan pembaharuan kerajaan.
DARIPADA PEMBANGUNAN KE POLITIK
Pada peringkat awal kerjayanya bersama SOUL for Development, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yemen, beliau berkhidmat dalam komuniti yang paling miskin dan terpinggir di negara itu.
Tumpuan beliau ketika itu adalah terhadap projek untuk mengurangkan kemiskinan serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan di kawasan luar bandar.
Beliau kemudian menyertai Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) bagi mengendalikan program berkaitan tadbir urus dan demokrasi, usaha meredakan konflik serta memperluas peluang untuk wanita dan golongan muda.
Pengalaman itu secara beransur-ansur membawa beliau lebih dekat dengan dunia pentadbiran kerajaan.
Pada 2019, beliau berkhidmat sebagai penasihat kepada Perdana Menteri ketika itu, Maeen Abdulmalik, dalam isu bantuan kemanusiaan dan pembangunan, ketika perang yang berlarutan selama bertahun-tahun menyebabkan Yemen berdepan antara krisis kemanusiaan paling serius di dunia.
Antara 2013 hingga 2015, Afrah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Agung pertama Persidangan Dialog Kebangsaan, usaha besar yang bertujuan menghimpunkan pelbagai kumpulan politik dan sosial Yemen bagi mencapai persetujuan mengenai bentuk sistem politik baharu negara itu.

Afrah membantu menyelia urusan teknikal dan pengurusan persidangan berkenaan, selain terlibat dalam penyediaan serta penggubalan dokumen akhir yang menggariskan hasil persidangan.
Beliau kemudiannya menganggotai Jawatankuasa Penggubalan Perlembagaan yang ditugaskan menterjemahkan persetujuan politik antara pelbagai kumpulan politik dan wakil bebas Yemen kepada cadangan perlembagaan baharu.
Bagaimanapun, usaha itu akhirnya gagal selepas gerakan Houthi, yang turut menyertai Persidangan Dialog Kebangsaan, menolak hasil proses berkenaan dan sebaliknya mara ke Sanaa sebelum mengambil alih ibu negara itu pada September 2014.
Yemen kemudiannya terjerumus ke dalam perang yang masih belum berakhir sehingga kini. Namun, Persidangan Dialog Kebangsaan kekal sebagai antara usaha paling penting dalam beberapa dekad kebelakangan ini untuk mencapai penyelesaian politik melalui rundingan.
PENYERTAAN WANITA
Walaupun ada pihak yang mempersoalkan pengalaman diplomatik al-Zouba untuk menggalas tugas sensitif sebagai Menteri Luar, beliau sebenarnya sudah terlibat dalam pelbagai usaha membina keamanan sejak sedekad lalu.
Antara 2016 hingga 2017, al-Zouba merupakan antara segelintir wanita Yemen yang dijemput Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyertai rundingan berkaitan proses damai Yemen yang ketika itu berlangsung di Kuwait.
Penglibatan beliau mencerminkan usaha lebih meluas untuk meningkatkan penyertaan wanita Yemen dalam proses membina keamanan, meskipun golongan itu masih kurang diwakili dalam rundingan rasmi antara pihak-pihak yang bertelagah.
Pelantikan beliau sebagai Menteri Luar hadir pada waktu yang amat penting dan sensitif bagi kerajaan serta rakyat Yemen.
Kerajaan sedang berusaha menyatukan pasukan yang menentang Houthi di bawah satu struktur arahan, selain mengukuhkan pentadbirannya di kawasan selatan dan timur negara yang tidak dikuasai Houthi.






