MELAKA: Kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi memberikan kebebasan lebih luas kepada mahasiswa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat susulan masih terdapat pihak yang tidak berpuas hati meskipun beberapa pindaan terhadap akta berkenaan telah dilakukan.
“Akta Universiti dan Kolej, ada yang tidak puas hati. Mereka minta mansuhkan.
“Pada hari ini saya dah umumkan, kita akan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, kerajaan sebelum ini sudah melakukan beberapa pembaharuan bagi memberikan lebih kebebasan dan ruang kepada mahasiswa.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan tempoh atau mekanisme pelaksanaan pemansuhan akta berkenaan.-UTUSAN






