SHAH ALAM: Pelantikan Prof. Dr. Roziah Janor, 58, sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) mungkin diteruskan berikutan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad kembali menjadi Menteri Pengajian Tinggi.
Ini kerana pelantikan Roziah yang akan mengetuai universiti awam terbesar dengan bilangan mahasiswa seramai 172,659 itu dibuat Noraini pada awal bulan ini sebelum meninggalkan Kabinet.
Namun selepas peletakan jawatan menteri berkenaan, pelantikan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa berkenaan ditangguhkan kerana didakwa tidak mendapat persetujuan Pejabat Perdana Menteri ketika itu.
Bagaimanapun, sumber dalaman ketika dihubungi Nexbyte memberitahu, penangguhan itu akan ditarik semula dan Roziah kekal menjadi wanita pertama dilantik sebagai pemegang jawatan nombor satu eksekutif UiTM yang mempunyai 35 buah kampus di seluruh negara.
Tambahnya, pelantikan itu akan diteruskan dan dipercayai tiada lagi isu calon lain perlu dipilih memandangkan keputusan sebelum ini sudah pun dibuat iaitu beliau menerima surat pelantikan sebagai Naib Canselor pada 2 Ogos lalu.
“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dijangka membuat kenyataan rasmi berhubung perkara ini dan tak mungkin akan ada perubahan,” jelasnya.
Terdahulu, kontroversi pelantikan Naib Canselor UiTM menarik perhatian umum berikutan universiti terbesar itu membiarkan kekosongan jawatan berkenaan sejak Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Azraai Kassim tamat perkhidmatan pada Mac lalu.
Jawatan berkenaan kemudian dipangku sehingga kini oleh Roziah yang menjadi Timbalan Naib Canselor sejak November tahun lalu.
Roziah adalah seorang pakar dalam bidang matematik dan statistik di Fakulti Sains Komputer dan Matematik serta berpengalaman selama 30 tahun berkhidmat bersama UiTM di pelbagai peringkat.
Pada 2015, beliau dilantik sebagai Penolong Naib Canselor (Kualiti) dan bertanggungjawab membawa UiTM dalam 17 peratus universiti terbaik di Asia apabila berjaya melonjakkan kedudukan ke tangga 108 berbanding 181 pada 2017.
Roziah adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang matematik dari The State University of New York @ New Paltz New York, Amerika Syarikat sebelum meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang sama di Universiti Virginia.
Kemudian, pada 2003, beliau memperoleh Sarjana Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang statistik daripada Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM).
Sebelum ini, Nexbyte difahamkan, terdapat tiga nama dicadangkan kepada KPT selepas saringan calon yang memohon dibuat oleh jawatankuasa pemilihan diketuai oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Zarinah Samihah Anwar.
Namun, pemilihan Roziah menimbulkan kontroversi apabila pelantikan beliau dibuat kurang seminggu sebelum Noraini yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO meletakkan jawatan pada 6 Ogos. -UTUSAN






