PUTRAJAYA: Rakyat akan dapat menikmati semula harga telur ayam yang lebih murah pada bulan depan susulan berlaku lebihan bekalan berbanding permintaan.
Ia berdasarkan statistik sebelum ini yang menyaksikan harga borong dan runcit bagi produk itu kembali stabil selepas sambutan Tahun Baharu Cina apabila berlaku lambakan di pasaran.
Ketika ini, harga telur unggas itu masih stabil ekoran pelanjutan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sehingga 4 Februari depan iaitu tiga hari selepas perayaan tersebut.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menetapkan harga siling untuk sebiji telur ayam gred A, B dan C masing-masing kepada 43 sen, 41 sen dan 39 sen.
Bercakap kepada Nexbyte, Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata, pihak penguat kuasa kementerian itu masih memantau situasi semasa unjuran pergerakan harga seluruh negara.
“Jangan bimbang, nanti saya akan keluar kenyataan rasmi apakah usaha kementerian untuk memastikan harga tetap stabil walaupun selepas habis SHMKM,” katanya ketika dihubungi.
Beliau yang ketika ini berada di Sabah bagi memenuhi jadual padat pelbagai program anjuran kementerian itu di negeri tersebut memberi jaminan kepentingan rakyat diutamakan.
SHMKM yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember tahun lalu untuk perayaan Krismas telah disambung lagi selama 35 hari dengan meliputi 12 jenis barangan asas termasuk telur ayam.
Nexbyte difahamkan, skim itu akan dilaksanakan sekali lagi awal April depan bagi keperluan sepanjang Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan yang berikutnya.
Inisiatif tersebut perlu dilakukan berdasarkan pengalaman kementerian itu pada tahun-tahun sebelum ini yang menyaksikan harga naik atas alasan tipikal iaitu isu kekurangan bekalan.
Pada masa ini, Malaysia mempunyai lebih 70 juta ekor ayam penelur kecuali Perlis, Kelantan, Terengganu dan Wilayah Persekutuan, dengan kadar sara diri ialah 115 peratus tahun lalu.
Angka itu adalah paling tinggi berbanding kadar sara diri untuk penternak ayam pedaging iaitu 104 peratus manakala pengusaha babi pula 92 peratus dan susu segar hanya 64 peratus.
Berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar, bekalan telur ayam yang stabil setiap tahun membolehkan Malaysia mengeksport lebih sejuta biji ke luar negara tanpa masalah.
Tahun lepas, harga runcit gred A pernah jatuh selepas Tahun Baharu Cina sehingga 36 sen pada Mei sebelum melonjak kepada 45 sen iaitu tertinggi dalam sejarah pada September.
Malaysia setiap tahun mengeluarkan hampir 10 bilion telur ayam dan secara per kapita, setiap seorang penduduk negara ini makan sejumlah lebih 350 biji telur ayam sepanjang tahun. – UTUSAN ONLINE






