PUTRAJAYA: Bukan sahaja pemandu, pemilik kenderaan turut berdepan tindakan tegas sekiranya membenarkan individu tidak cukup umur dan tidak memiliki lesen, memandu kenderaan mereka.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, tindakan terhadap pemilik kenderaan itu adalah mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Dalam kes ini kecuaian dan kalau sebabkan kecederaan mana-mana pihak, sesiapa yang disabitkan kesalahan ini boleh diambil tindakan keras,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana, di sini, semalam.
Beliau mengulas mengenai kemalangan maut melibatkan seorang pemotong rumput warga Myanmar yang dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu oleh seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
Mengulas lanjut, beliau berkata, undang-undang yang telah ditetapkan adalah untuk melindungi pengguna jalan raya yang lain.
“Kalau budak ini tak ada lesen dan tak ada insurans, macam mana dia boleh bawa. Kalau tak ada lesen memang tidak ada perlindungan insurans.
“Undang-undang kita kata mesti memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan umur 17 baru layak, ini langsung tak layak. Macam mana boleh bawa MPV langgar orang, siapa harus dipersalahkan,” ujarnya.
Kelmarin seorang lelaki warga Myanmar maut akibat dirempuh sebuah kenderaan MPV yang terbabas dalam kejadian di Jalan Pintasan Semeling berhampiran Taman Malinja, Bedong di Sungai Petani di Kedah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa, Cinglowpa, 29, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala rakan senegaranya, Jamal Husson Fozol Haque, 33, patah bahu kanan.
Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang berehat selepas melakukan kerja-kerja memotong rumput manakala kenderaan dipandu remaja lelaki berusia 16 tahun yang datang dari arah lampu isyarat Semeling dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan.
Berhubung larangan penggunaan e-skuter dan moped di jalan raya, Ka Siong meminta ia tidak dikaitkan dengan penggunaan kerusi roda elektrik oleh orang kurang upaya (OKU).
“Jangan kaitkan dengan OKU, OKU tidak ada masalah kerana kelajuannya enam kilometer sejam,” tegasnya. – UTUSAN






