PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad disaran lebih proaktif dalam membantu menyelesaikan isu bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Julai lalu.
Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis berkata, ini kerana kesemua urusan berkaitan haji adalah di bawah kelolaan Tabung Haji dan bukannya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Merujuk kepada kenyataan akhbar pada 9 Julai lalu oleh Idris yang mengatakan isu penipuan haji adalah di bawah bidang kuasa MOTAC, kami berpendapat ia tidak betul sama sekali.
“Mengikut akta Parlimen, semua urusan haji adalah di bawah kelolaan Tabung Haji dan ia bukannya di bawah kelolaan MOTAC.
“Oleh itu, kenyataan Idris yang mengatakan isu haji adalah di bawah MOTAC tidak betul dan mengelirukan orang awam terutama bakal jemaah haji yang terkandas baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Justeru beliau berharap pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu memperbetulkan kenyataan beliau dan membantu menyelesaikan isu tersebut serta bukan hanya menolaknya kepada pihak lain seperti MOTAC.
“Pihak MOTAC di bawah kepimpinan Datuk Seri Nancy Shukri sedang mencuba sedaya upaya membantu memulihkan industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Amat tidak adil seorang menteri menolak isu haji ini kepada MOTAC kerana ia akan menjejaskan nama baik MOTAC dalam kalangan orang awam,” ujarnya. – UTUSAN






