PETALING JAYA: “Tindakan segelintir pihak melabelkan telur ayam biasa kepada telur ayam premium adalah perbuatan menipu rakyat maka ia perlu dibanteras sehabis-habisnya”.
Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, pihak berkuasa tidak boleh mendiamkan diri sebaliknya perlu melakukan tindakan segera untuk memerangi aktiviti penipuan rakyat.
Menurut beliau, setiap gred telur mempunyai kelebihan dan khasiat tertentu dan sekiranya bahan masakan tersebut dijual dengan harga tidak setimpal dengan ‘keistimewaan’ ia adalah perbuatan salah.
“Ini kerana telur premium ada kriteria tertentu, misalnya telur Omega 3, telur kolesterol rendah, telur Selenium Plus dan sebagainya.
“Sementara itu telur ayam biasa tidak mempunyai kelebihan itu. Saya mengesa para penternak atau peniaga, janganlah cuba menipu pengguna dengan melabelkan telur ayam biasa dengan label ayam telur premium.
“Pihak LPKPM mengambil berat perkara ini. Saya berharap pihak berkuasa mengambil langkah yang serius dan munasabah untuk memantau perkara ini daripada terus berlaku,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
SEWENANG-WENANGNYA
Terdahulu, Mingguan Malaysia melaporkan, terdapat segelintir pihak sewenang-wenangnya meletakkan label premium pada telur ayam biasa yang dijual di pasaran untuk mendapat keuntungan berlebihan.
Perkara tidak bermoral yang sudah berlaku sejak sekian lama ini terjadi ekoran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) dan Jabatan Veterinar (JPV) tiada prosedur khusus bagi memantau aktiviti pelabelan sebegini, dalam menentukan jenis gred telur itu premium atau tidak.
Bagaimanapun, Nan Sang mengakui bahawa masalah melibatkan bekalan ayam dan telur amat sukar untuk dititiknoktahkan kerana ia melibatkan pelbagai pihak untuk merungkaikan.
“Perkara ini tidak habis-habis sejak satu tahun lepas. Pengguna bersyukur agar perkara ini dapat diselesaikan dan tidak berulang agi.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, isu telur memalukan negara kerana ia menunjukkan kelemahan pentadbiran.
“Ini penipuan secara halus. Saya pun hairan kenapa isu rakyat sebegini tidak diberi perhatian, kenapa sekarang telur pun menjadi isu di dalam negara kita. Saya memang kesal, takkan isu telur pun tak boleh nak ditangani?
“Jangan sampai satu hari nanti, hanya bangsawan sahaja mampu makan telur sedangkan dahulu kalau tiada duit orang kata makan nasi, kicap dan telur tetapi tidak boleh pada ketika ini. Ia amat memalukan negara pada masyarakat luar,” ujarnya.- UTUSAN






