KUALA LUMPUR: Keputusan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) keluar daripada Gerakan Tanah Air (GTA) disifatkan sebagai langkah terburu-buru tanpa melihat asas penubuhan gabungan itu dalam arena politik negara.
Bekas Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkata, keputusan itu juga tidak dibincangkan bersama pucuk pimpinan tertinggi parti sebaliknya, Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hanya mengambil kira pandangan para perwakilan dalam Perhimpunan Agung Pejuang, Sabtu lalu.
Beliau menganggap, tindakan Mukhriz itu tidak menunjukkan sisi kematangan dalam kepemimpinan dan masa hadapan parti yang perlu hala tuju jelas supaya kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak berulang.

“Saya menerima apa jua keputusan diambil beliau. Cuma, Mukhriz harus beri penerangan terperinci mengapa GTA ditubuhkan daripada terus membuat kesimpulan keluar daripada gabungan ini.
“Saya kurang bersetuju dengan langkah yang mana jika ada cadangan bersama dengan parti lain, ini menunjukkan kita sudah lari daripada matlamat asal, contohnya bersama Pakatan Harapan (PH).
“Dalam kita berdepan dengan PH, tidak bermakna kita bercakap soal perkauman, cuma ideologi dan pembawaan di dalam parti khususnya DAP. Ini akan merugikan orang Melayu pada masa akan datang.
“Sebagai parti yang ditubuhkan berdasarkan matlamatnya sendiri, maka, kita tidak seharusnya bercakap soal pilihan lain seperti yang presiden sebut antaranya bersama PH. Yang harus ada adalah memperkasa Pejuang dan GTA untuk perjuangan bangsa Melayu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam Perhimpunan Agung Pejuang kali kedua kelmarin, Mukhriz mengumumkan keputusan keluar daripada GTA bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan.
GTA adalah gabungan politik yang masih belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dianggotai empat parti komponen utama iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Berjasa (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).
Pada PRU15, GTA yang bertanding menggunakan logo Pejuang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen meskipun meletakkan calon di 125 kerusi.
Malah, Pengerusi GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga tewas dengan majoriti besar. – UTUSAN






