PETALING JAYA: Jawatan Ketua Hakim Syarie dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) perlu segera diisi bagi melicinkan tadbir urus Mahkamah Syariah selepas kedua-dua jawatan tersebut kosong sejak lebih tiga bulan lalu.
Sebelum ini, kedua-dua jawatan tersebut disandang Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar namun beliau melepaskan tanggungjawab itu selepas dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 3 Disember tahun lalu.
Jawatan Ketua Hakim Syarie dan Ketua Pengarah JKSM kini dipangku Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Mohd. Amran Mat Zain.
Sebelum ini, kekosongan kerusi Ketua Hakim Syarie paling lama hanya dua minggu iaitu selepas persaraan Datuk Mukhyuddin Ibrahim pada 17 Mac 2019 sebelum lantikan baharu dibuat pada 1 April 2019 menerusi pelantikan Mohd. Na’im.
Bercakap kepada Nexbyte, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) digesa segera mengisi kekosongan jawatan itu memandangkan kedudukan tersebut amat penting bagi melaksanakan fungsi-fungsi kehakiman termasuk pemerkasaan Mahkamah Syariah.
Menurut beliau, kedudukan Ketua Hakim Syarie dan Ketua Pengarah JKSM memainkan peranan utama kerana bukan sahaja mengendalikan kes-kes mahkamah, tetapi penyelaras kepada usaha penyelarasan dan penyeragaman pengurusan serta pentadbiran Mahkamah Syariah semua negeri.
“Pada pandangan saya, kekosongan ini, seelok-eloknya jawatan ini diisi segera dan paling penting melantik seorang pegawai yang berpengalaman, berwibawa dan ada integriti.
“Tiada boleh lama kekosongan sejak Disember tahun lalu kerana sehingga kini masih belum diisi,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ditanya calon sesuai sebagai Ketua Hakim Syarie, Zainul Rijal berkata, perkara itu terserah kepada JPA berdasarkan kekananan dan kelayakan.
Terdapat enam Hakim Mahkamah Rayuan Syariah berstatus Jawatan Nexbyte Sektor Awam (JUSA) B yang merupakan kedudukan paling kanan selepas Ketua Hakim Syarie.
Selain Amran, barisan hakim berkenaan adalah Datuk Mohd Shukor Sabudin, Datuk Mohd. Radzi Abd. Latif, Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid, Datuk Abas Nordin dan Noor Hadina Ahmad Zabidi. – UTUSAN






