KUALA LUMPUR: Tanpa guru, siapalah kita. Sama ada kita pemimpin negara, pegawai tinggi kerajaan atau syarikat atau usahawan berjaya, pasti ada jasa seorang guru di setiap kejayaan itu.
Menjadi guru bukan satu tugas mudah terutama dalam era ledakan teknologi maklumat. Bebannya sangat besar. Bukan sahaja berdepan kerenah pelajar tetapi juga kerenah ibu bapa. Dalam masa yang sama, sasaran sekolah dalam bidang akademik perlu dicapai.
Bagi guru yang mengajar di kawasan pedalaman, cabarannya lebih daripada itu. Nyawa mereka juga terancam apabila perlu berdepan dengan ancaman alam semulajadi, cuaca, binatang buas dan pelbagai kepayahan lain.
ANCAMAN
Inilah yang dihadapi Mohd. Halim Mohamad Zaid, 44, seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar di Gua Musang, Kelantan.
Meredah hutan belantara sejauh lebih 60 kilometer dari rumah transit di Kuala Betis untuk ke SK Balar adalah cabaran yang terpaksa ditempuhnya sejak tiga tahun lalu untuk mengajar di sekolah pedalaman Orang Asli itu.
Tidak pernah mengenal erti penat, Mohd. Halim menukar ‘halangan’ naik turun bukit, laluan berselut tebal dan merentas sungai dengan motosikal Honda EX5 itu sebagai sebahagian daripada ‘rempah-ratus’ kehidupan bergelar seorang pendidik di pedalaman Kelantan.
“Pejam celik, sudah tiga tahun saya berulang-alik menggunakan kapcai ini. Awalnya perasaan bercampur-baur kini bertukar kepada sayang selepas mendapat suntikan semangat daripada rakan setugas yang sudah 15 tahun mengajar di kawasan ini,’’ katanya kepada Nexbyte.
Mohd. Halim berkata, setiap hari Sabtu, dia akan bergerak dari rumah di Kampung Kadok Dalam, Kota Bharu ke rumah transit dan membuat persiapan bagi memastikan semua barang-barang hendak dibawa berada dalam keadaan baik.
“Sebelum masuk saya dan rakan-rakan akan pastikan motosikal berada dalam keadaan baik termasuk alat-alat ganti seperti brake pad, tayar, minyak petrol dan sebagainya. Perjalanan ke SK Balar bukan satu tugas mudah kerana banyak rintangan dan halangan yang perlu ditempuh.

“Meredah arus sungai deras yang berbatu-batuan dan bergilir-gilir menolak motosikal dalam lumpur tebal antara ‘ujian’ perlu dilalui selain bentuk muka bumi berbukit. Kalau musim kemarau perjalanan ke SK Balar mengambil masa tiga hingga empat jam tetapi kalau musim hujan, enam hingga 13 jam adalah perkara biasa.
“Seboleh-bolehnya, kami akan berusaha tiba lebih awal di sekolah dan mengelakkan diri daripada ‘bermalam’ di kawasan hutan kerana ia mempunyai risiko,” jelasnya.
KETINGGALAN
Situasi sama dihadapi seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Senderut, Ulu Jelai, Lipis yang mahu dikenali sebagai Liehart apabila perlu melalui jalan masuk ke kampung dan sekolah yang kerap rosak dan berlumpur selepas hujan sejak 10 tahun lalu.
“Kita berdepan kesukaran keluar dan masuk ke kampung ini sejak dahulu lagi. Walaupun kami, penduduk dan kakitangan agensi kerajaan yang bertugas di sini menggunakan kenderaan pacuan empat roda serta motosikal lasak, tetapi ia tetap sesuatu yang sukar.
“Walaupun sekolah Orang Asli di pedalaman sudah dilengkapi pelbagai kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) termasuk internet, tetapi keadaan jalan masih ketinggalan dan perlu diutamakan oleh kerajaan,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi guru yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Saipon’ berkata, bermula perjalanan di simpang masuk Jalan Sungai Koyan-Raub berdekatan Simpang Blau di sini, mereka mula berdepan kesukaran perjalanan dalam jarak 35 kilometer untuk sampai ke kampung tersebut.

“Keadaan jalan yang teruk jika musim hujan berlaku sepanjang tahun menyebabkan jalan berlumpur dan kebanyakan terdapat lopak dan halangan yang dalam menyebabkan ada kenderaan terpaksa ditarik,’’ katanya.
Namun, kata beliau, cabaran itu tidak mematahkan semangat guru SK Senderut untuk bertugas malah menitip pengalaman yang berharga dalam tempoh berkenaan.
BERGELORA
Di Kudat, Sabah, guru di situ berdepan cabaran berbeza apabila terpaksa meredah laut bergelora selama sejam setiap bulan untuk sampai ke Sekolah Kebangsaan (SK) Balambangan di Pulau Balambangan, Banggi.
Namun, kesukaran yang terpaksa ditempuhi tidak sedikitpun mematahkan semangat Nicholas Jinidu Chua Siaw Chiang, 41, untuk terus berkhidmat.
Menurutnya, mengajar di sekolah pedalaman memerlukan guru menyesuaikan diri dengan suasana di pulau yang serba-serbi kekurangan malah bekalan elektrik juga bergantung sepenuhnya kepada tenaga solar.
“Guru di sini perlu tinggal di pulau kerana perjalanan berulang-alik ke Pekan Kudat memerlukan kos pengangkutan yang sangat tinggi dan memenatkan.
“Memandangkan belum ada bot yang disediakan untuk kegunaan guru-guru di sini maka, kami terpaksa berbelanja RM350 hingga RM500 bagi membayar tambang bot setiap kali hendak keluar dari Pulau Balambangan ke Kudat,” katanya kepada Nexbyte.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SK Balambangan itu berkata, guru juga berhadapan dengan murid yang kurang terdedah dengan isu semasa kerana mereka tidak terdedah kepada dunia luar.
“Apabila kita mengajar dan cuba mengaitkan sesuatu isu semasa, kadangkala murid akan terdiam kerana tidak dapat memahami apa sebenarnya yang diceritakan.
“Jadi, adalah menjadi tugas guru untuk mengajar dengan menayangkan video daripada YouTube bagi memberi gambaran suatu kejadian sains. Arahan pendek dan ringkas juga disediakan untuk membantu murid, terutamanya dalam menjalankan eksperimen mudah,” katanya.
Berkongsi mengenai keseronokan mengajar di sekolah pedalaman, beliau berkata, ia berkait dengan kesungguhan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka memperoleh ilmu agama.
“Walaupun saya beragama Kristian, saya sentiasa memastikan anak-anak di SK Balambangan sentiasa solat pada awal waktu dengan pemantauan Ustaz Harun Ali selaku guru agama dan warden asrama,” katanya.
INTERNET
Di Padang Besar, Perlis, guru-guru di situ berdepan cabaran capaian internet yang lemah sekali gus menyukarkan guru dalam menyediakan bahan buat pelajar bagi menjalani proses pembelajaran.
Seorang guru di sebuah sekolah yang ingin dikenali sebagai Izham, 37, berkata, permasalahan itu bukannya perkara baharu dan turut membebankan tugas warga pendidik membuat persediaan bahan mengajar buat murid-murid.
“Adakalanya capaian internet langsung sukar untuk didapati dan berikutan itu kami para guru tidak dapat memanfaat penggunaan sumber teknologi tersebut dengan sebaiknya sewaktu sesi pengajaran,” katanya.
TERKENANG
Sementara itu, setiap kali Hari Guru, Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli, 62, terkenang kisah ketika menjadi tenaga pengajar.

Bercakap kepada Nexbyte, beliau berkata, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah semasa mengajar di sekolah pertama di kawasan pedalaman di Miri apabila perlu menempuh perjalanan sekurang-kurangnya meredah tiga sungai untuk ke bandar.
Bagaimanapun, katanya, apa yang membuatkan beliau tersentuh apabila penduduk kampung di situ sentiasa ada untuk membantu.
Katanya, banyak pengalaman pahit dan manis sepanjang bergelar guru termasuk berdepan kekangan apabila bergiat aktif dalam politik sebelum ini, namun ia tidak mematahkan semangatnya dalam mendidik anak bangsa.
Jawatan terakhir beliau ialah Guru Penolong Kanan Kokurikulum sebelum bersara awal pada usia 52 tahun, pada 2013 untuk menjadi calon Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Tidak sempat menjadi Guru Besar semasa berada dalam sektor pendidikan itu, takdir menentukan Mohd. Shukri terus menjadi Menteri Besar selepas Perikatan Nasional (PN) menang dalam PRU15, November tahun lalu.
Beliau merupakan bekas guru mata pelajaran Matematik dan Kemahiran Hidup bergelar pendidik sejak 1985 sehingga 2013 iaitu hampir 30 tahun.
“Menjadi seorang guru adalah amanah dan tanggungjawab yang cukup besar dan ia bukan sekadar profesion semata-mata. Jadi teruslah mendidik anak-anak ini,” katanya. – UTUSAN






