PETALING JAYA: Pengurusan pendidikan sekolah agama di negara ini didakwa tidak seragam ekoran terdapat lebih daripada satu organisasi yang menguruskannya.
Pada masa ini pengurusan sekolah agama terletak di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), majlis-majlis agama negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak persendirian.
Ia menyebabkan tiada keseragaman kurikulum dan pentaksiran peperiksaan sekali gus memberi kesan kepada standard pendidikan Islam yang sepatutnya.
Lebih membimbangkan, bagaimana pula kelayakan guru sekiranya terdapat sekolah agama yang tidak berdaftar.
Bercakap kepada Nexbyte, Setiausaha Kluster Pendidikan & Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan sejauh mana kualiti akademik yang disediakan pihak sekolah.
“Jadi, apabila pelbagai sekolah agama wujud di negara kita, kita agak bimbang dari segi kualiti dan prasarana yang disediakan serta bagaimanakah bentuk pemantauan kepada sekolah agama itu terutamanya yang diuruskan persendirian.
“Adakah anak-anak kita akan mendapat pendidikan yang baik, adakah sekolah itu selamat, adakah guru-guru yang mengajar di sekolah itu mendapat tauliah atau mempunyai kelayakan yang sewajarnya?
“Selain itu, bagaimana pula dengan isu kawalan atau pematuhan terhadap undang-undang, jadi semua ini menjadi kebimbangan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Setakat Januari 2020, Kementerian Pendidikan menguruskan 283 sekolah aliran agama terdiri daripada sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).
Di bawah Jakim terdapat 5,057 sekolah program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dengan 4,384 sekolah agama persendirian yang berdaftar sama ada diuruskan oleh NGO, syarikat, agensi atau persendirian.
Anuar yang juga Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pengurusan sistem pendidikan sekolah agama perlu diselaraskan dengan hanya satu agensi sahaja yang bertanggungjawab untuk menguruskannya.
Katanya, ia bagi memastikan supaya agensi itu boleh memantau kurikulum, kelayakan guru dan infrastruktur sekolah menepati standard dan kualiti.
Senada dengan beliau, Presiden Ikatan Guru Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, sudah tiba masanya kerajaan menilai dan menyemak serta menyeragamkan sistem pendidikan Islam di negara ini.
Katanya, kerajaan perlu melibatkan semua pemegang taruh pendidikan Islam bagi mencari solusi terbaik untuk memajukan kualiti pendidikan merangkumi kurikulum, kualiti guru dan sekolah.
“Jika tidak diusahakan kebimbangan ialah wujud salah faham tafsiran kepada ajaran Islam, kita berdepan unsur-unsur kekerasan dan fahaman politik kepartian yang boleh membawa perpecahan umat Islam,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN






