SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) dijangka menerima Naib Canselor baharu berkuat kuasa hari ini selepas Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor bersara wajib pada 12 Oktober lalu.
Siapa penganti Dr. Roziah tidak didedah namun Timbalan Naib Canselor, Prof. Datin Dr. Suzana Sulaiman (Akademik dan Antarabangsa) dan Profesor Dr. Mohd. Sazili Shahibi (Hal Ehwal Pelajar) antara dua nama yang disebut-sebut bakal diangkat sebagai Naib Canselor UiTM.
Selain dua nama tersebut, Penolong Naib Canselor Institut Kepimpinan dan Pembangunan, Prof. Datuk Dr. Mizan Hitam juga antara yang layak. Dr. Suzana, Dr. Mod. Sazili dan Dr. Mizan dikatakan menghadiri temu duga Jawatankuasa Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 19 Oktober lalu.
Satu sumber berkata, seramai lima individu dikatakan menerima jemputan menghadiri temu duga tersebut untuk mencari penganti Roziah.
“Difahamkan esok (hari ini) dijangka Naib Canselor UiTM baharu akan berkuat kuasa. Setakat ini tiada maklumat berkenaan identiti siapa yang akan menduduki jawatan itu. Namun yang pasti mereka sudah hadir temu duga dua minggu lalu,” katanya ketika dihubungi.
Untuk makluman, UiTM bakal menganjurkan Istiadat Konvokesyen Ke-98 pada 18 November sehingga 14 Disember ini.
Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan terdapat 11 nama termasuk anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Dr. Maszlee Malik yang disebut-sebut untuk dicadangkan sebagai Naib Canselor UiTM Ke-7.
Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Institut Antarabangsa Pengajian Lanjutan Islam (IAIS) kemudian menjelaskan tidak pernah memohon jawatan tersebut.
Selain Maszlee, nama lain yang dicadangkan dipercayai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.
Bekas Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), KPT, Prof. Datuk Dr. Nasrudin Mohamad serta Naib Canselor dan Presiden Universiti Selangor (Unisel), Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman juga menjadi perhatian warga UiTM. – UTUSAN






