KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka menaikkan gaji penjawat awam dan elaun pesara pada tahun depan sebagai salah satu usaha untuk merancakkan kembali ekonomi.
Kenaikan itu dipercayai melibatkan hampir 1.6 juta penjawat awam dan lebih 900,000 pesara.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, kenaikan itu antara beberapa berita gembira yang diperincikan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Bagaimanapun, katanya, perkara berkenaan akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.
“Pada masa yang sama ada dua perkara penting bagi mereka yang masih berkhidmat. Pertama kita telah luluskan Kertas Putih Dasar Gaji Progresif bagi pekerja di sektor swasta.
HARAP
“Jadi, insya-Allah bermula 2024 pelaksanaan gaji progresif itu kita harap akan dapat menampakkan peningkatan pendapatan bagi pekerja di sektor swasta.
“Bagi sektor awam, Perdana Menteri telah sebut sebelum ini, kita ada semak (kenaikan gaji) dan insya-Allah menjelang tahun 2024, gaji penjawat awam akan naik,” katanya, semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Forum Alumni Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), di sini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, gaji progresif dan kenaikan gaji penjawat awam merupakan keutamaan kerana tahun hadapan adalah tahun yang penting susulan ekonomi mula rancak dengan pelbagai pelaburan diperoleh tahun ini.
“Jadi banyak kerja-kerja yang akan bermula dan cabarannya pasti ada untuk memastikan pelaksanaan tidak terencat atau tergendala akibat proses,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri dilapor berkata, skim gaji penjawat awam akan disemak semula selepas mengambil kira tiada sebarang kenaikan diberikan untuk satu tempoh yang lama dengan kali terakhir semakan dianggarkan pada 2013 iaitu 10 tahun lalu.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam. Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, pihaknya mengharapkan peningkatan gaji yang seimbang dengan kos sara hidup.
Katanya, ini kerana kira-kira 60 peratus penjawat awam yang tergolong dalam kumpulan pelaksana Gred 40 ke bawah amat terkesan ketika ini.
“Sebolehnya seimbang dan adil dengan kos sara hidup. Sebab sekarang ini barang semua naik. Beli barangan keperluan asas pun boleh menelan belanja sehingga RM400 itu tidak termasuk perkara lain-lain lagi.
“Jadi, kita harap kenaikan kali ini akan jadi realiti. Sebab kita beberapa sudah memohon (kenaikan gaji), tetapi asyik bertukar kerajaan dan perlu buat semula permohonan.
“Oleh itu kita harap sangat Kerajaan Perpaduan melaksanakan (kenaikan gaji),” katanya.- UTUSAN






