PETALING JAYA: Pas masih belum memutuskan sama ada mahu meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada Nexbyte, Ketua Penerangan Pas merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, usul tersebut hanya akan diputuskan oleh pembangkang menjelang mesyuarat Parlimen bermula 26 Februari ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PN menjelaskan, masih ada banyak masa sebelum pembangkang memikirkan sama ada mahu meneruskan undi tidak percaya terhadap perdana menteri atau tidak.
LAMBAT
“Perkara ini (undi tidak percaya) akan diputuskan menjelang persidangan Dewan Rakyat nanti. Sidang lambat lagi.
“Sekarang kita bekerja untuk kepentingan rakyat, kita tidak mahu bercakap soal undi tidak percaya sepanjang masa. Kalau sepanjang masa bincang tentang undi percaya atau tidak percaya, itu kerja pembangkang yang sekarang ini sudah menjadi kerajaan untuk lakukannya.
“Jadi, tidak payah bincang soal percaya atau tidak percaya. Kita bincang pasal isu banjir, rakyat dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Akhbar ini semalam melaporkan, memetik seorang ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang enggan dinamakan berkata, tiada usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri dihantar PN ke Dewan Rakyat semalam.
Katanya, usaha tersebut hanya sia-sia kerana mengakui tidak mempunyai bilangan yang cukup untuk menukar perdana menteri.
CABAR
Sebelum ini, Anwar dilaporkan mencabar pembangkang untuk membawa usul tidak percaya di Parlimen jika mahu menumbangkan kerajaan.
Katanya, kerajaan sudah memberi peluang kepada usul undi tidak percaya dibuat, namun, langkah itu tidak pernah dilakukan pembangkang sejak setahun lalu.
Dewan Rakyat akan bersidang selama 69 hari pada tahun ini dengan mesyuarat pertama selama 19 hari bermula 26 Februari hingga 27 Mac.
Ia dijadualkan bermula dengan istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong.
Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja akan menyusul keesokannya, manakala mulai 11 sehingga 14 Mac penggulungan oleh kementerian-kementerian berkaitan. – UTUSAN






