BAITULMUQADDIS: Menteri Keselamatan Dalam Negeri Israel, Itamar Ben-Gvir sekali lagi mencetuskan kemarahan apabila sengaja mengeluarkan kenyataan mahu membina rumah ibadat Yahudi di pekarangan Masjid Al-Aqsa.
Dalam satu temu bual dengan stesen penyiar Israel, Army Radio, pemimpin kontroversi itu berkata, jika dibenarkan beliau bukan sahaja akan menaikkan bendera Israel di kawasan berkenaan, malah akan membina rumah ibadat untuk kaum Yahudi.
“Jika saya boleh buat apa-apa sahaja, saya akan pacak bendera Israel di situ. Ya, saya juga akan bina rumah ibadat untuk orang Yahudi,” balas Ben-Gvir ketika ditanya soalan oleh wartawan.
Di bawah status quo dipersetujui Israel, bangsa Yahudi dan individu bukan Islam boleh mengunjungi Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur pada waktu-waktu tertentu, namun dilarang melakukan upacara keagamaan atau mempamerkan simbol agama.
Masjid Al-Aqsa yang juga tempat suci ketiga umat Islam, ditadbir oleh Jordan, namun akses ke kawasan berkenaan dikawal oleh pasukan keselamatan Israel.
Sejak memegang jawatan dalam kerajaan pada 2022, Ben-Gvir sudah enam kali memasuki kompleks tersebut dengan yang terbaharu bersama kira-kira 1,200 pendatang haram Yahudi untuk memperingati hari puasa tahunan Yahudi, Tisha B’Av.
Tindakan itu turut dikritik beberapa pemimpin ortodoks Yahudi, antaranya Menteri Dalam Negeri, Moshe Arbel yang mengutuk cubaan Ben-Gvir melakukan ibadat dalam kawasan Kompleks Al-Aqsa.
Kenyataan terbaharu Ben-Gvir juga dikecam jurucakap Kementerian Luar Jordan, Sufian Qudah yang menegaskan Al-Aqsa adalah kawasan suci umat Islam.
“Jordan akan mengambil langkah perlu bagi menghentikan pencerobohan di Al-Aqsa termasuk melaksanakan tindakan undang-undang,” kata Sufian.






