KUALA LANGAT: Kerajaan Selangor disaran meneliti impak peningkatan tarif air bermula September ini yang dikhuatiri akan memberi kesan domino (berantai) terutama dalam sektor pertanian di negeri ini.
Hal itu disuarakan oleh seorang usahawan tani, Mohd. Noh Ngaini yang mengusahakan tanaman ubi kayu dan pisang di ladang seluas 182 hektar dekat Sungai Kelambu, di sini.
Menurut petani berusia 34 tahun itu, peningkatan tarif air tersebut akan memberi kesan kepada kos pengeluaran termasuk sistem fertigasi yang digunakan.
“Bekalan air untuk ladang saya selama ini sememangnya daripada sumber Air Selangor. Kos sekarang dan masa depan tidak dapat dipastikan lagi kerana sistem fertigasi di sini baru bermula.
“Tetapi, apa yang membimbangkan adalah pengeluaran ubi dan pisang terikat dengan kontrak bersama pembeli, kita tidak boleh naikkan harga sesuka hati. Jika, kesannya besar, ia pasti membebankan kos pertanian,” katanya kepada Nexbyte.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan tarif air baharu bagi 9.3 juta penduduk di sekitar Lembah Klang dan seluruh negeri ini yang melibatkan hampir 2.8 juta pemilik akaun melibatkan peningkatan antara 120 hingga 168 peratus bermula 1 September ini.
Peningkatan tersebut melibatkan pengguna domestik, komersial dan kategori khas yang melibatkan peningkatan antara RM0.66 hingga RM7.08 bagi setiap meter padu.
Sementara itu, penternak ruminan dari Kelanang, Jugra, Mohd.Faiz Hairol Isam, 34, memberitahu sebagai penternak haiwan seperti lembu dan kambing peningkatan kos air sudah pasti akan memberi kesan kos ternakan.
“Apabila berlaku kenaikan kos utiliti sudah pasti kos makanan, pengangkutan, upah pekerja turut meningkat. Memang banyak kos perlu dikaji agar tidak ‘koyak’ atau mengalami kerugian.
“Maka sebagai penternak, saya perlu membuat penetapan harga produk berasaskan kenaikan kos-kos pengeluaran, yang mana kenaikan kos tarif air adalah salah satu daripada kos-kos terlibat,” jelasnya.
Tambahnya, bagaimanapun penelitian impak itu perlu dilakukan, namun tidak menolak jika harga jualan lembu dan kambing menjelang Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha perlu dinaikkan. – UTUSAN






