SHAH ALAM: Selangor akan menyesuaikan pendidikan sekolah agamanya dengan dasar baharu Kementerian Pendidikan berhubung kemasukan darjah satu serta prasekolah bagi pelajar bermula pada usia enam dan lima tahun.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan seluruh jentera pendidikan negeri seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Pendidikan Selangor (JPNS) dan universiti.
Katanya, menerusi perbincangan yang diadakan dalam masa terdekat, beliau menjangkakan hala tuju jelas berkaitan dasar baharu itu dengan pendidikan di peringkat negeri dapat diselesaikan menjelang Mei tahun ini.
“Masih awal tahun dan saya percaya menjelang separuh tahun ini akan ada halatuju jelas. Ramadan nanti ada pemukiman dengan seluruh jentera pendidikan negeri, JAIS, jabatan pendidikan, universiti.
“Kita nak tengok bagaimana entiti ini ada saling hubung yang baik dan bermanfaat kepada setiap entiti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian dan Penzahiran Laporan Voluntary Local Review (VLR) Matlamat Pembangunan Mampan (SDGS) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri memberi jaminan dasar pendidikan negeri akan disesuaikan secara berhati-hati bagi mengelakkan kekeliruan.
Jelas Amirudin, bagaimanapun penyesuaian terhadap dasar tersebut berdepan cabaran bagi negeri ini seperti mendapatkan tenaga pengajar untuk memenuhi keperluan pelajar.
Beliau berkata, namun akan memastikan penyelarasan semula dasar tersebut tidak akan mengganggu sistem pendidikan sekolah agama di negeri ini dan menangani cabaran tersebut supaya dapat beradaptasi dengan dasar pendidikan kebangsaan.
“Kita akan cuba selaraskan dengan pihak kementerian nanti supaya tidak ada kekeliruan, saya akan rujuk balik bagaimana kita menyerap perubahan dasar tersebut yang akan berlaku pada 2027 nanti.
“Setahun yang ada ini kita akan cuba beradaptasi dengan perubahan tersebut. Kita tak mahu ada dua atau tiga sistem. Kita akan cuba selarikan dengan dasar pendidikan kebangsaan,” tambahnya.
Katanya lagi, ketika ini ada pelbagai masalah kritikal dihadapi dan cuba diselesaikan seperti pemintaan terhadap pembinaan sekolah baharu, tenaga pengajar dan sebagainya.
“Ikut kemampuan kita boleh buat tapi untuk dapatkan guru perlukan masa panjang. Kita perlu perancangan bina sekolah tiga hingga lima tahun baru dapat permulaan lengkap,” ujarnya. – UTUSAN






