KLANG: Sebanyak 1,240 alat mainan seks bernilai RM52,500 cuba diseludup masuk ke negara ini dari China tumpas apabila dikesan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Zon Bebas Utara dekat Pelabuhan Klang, di sini pada Mei lalu.
Pengarah Kastam Selangor, Noraidah Ishak berkata, barangan tersebut di kesan dalam sebuah kontena di pelabuhan berkenaan pada 26 Mei yang didapati dalam keadaan mencurigakan ketika pemeriksaan dijalankan oleh JKDM di sana.
“Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai jenis barangan yang diikrarkan sebagai kerusi, beg, bekas minuman dan pakaian dalam. Namun, terdapat ribuan pelbagai jenis ‘sex toys’ turut berada di dalam kontena itu dan dirampas bagi tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Jelasnya, kontena tersebut tiba di Pelabuhan Klang antara 15 dan 19 Mei lalu dan ia merupakan kali pertama direkodkan di Selangor pada tahun dan mengesyaki barangan terbabit adalah untuk pasaran tempatan.
Tambah Noraidah, bagaimanapun, pihaknya masih menjalankan siasatan di bawah Seksyen 135 (1) (a) dan Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan serta membuat pengikraran tidak sah.
Dalam pada itu, beliau berkata, JKDM negeri turut merampas 1,578.43 liter minuman keras yang dianggarkan bernilai RM409,917 termasuk cukai di pelabuhan sama, 4 Mei lalu.
“Kesemua minuman pelbagai jenama itu ditemukan dalam sebuah kontena yang disembunyikan bersama alat ganti terpakai. Siasatan mendapati kontena itu tiba di pelabuhan itu pada 27 April lalu dan berasal dari sebuah negara di Asia,” ujarnya. – UTUSAN






