KUALA LUMPUR: Aspek warisan perlu dimanfaatkan sebagai aset strategik negara yang mampu menjana ekonomi dan merancakkan pelancongan bukan hanya dipelihara sebagai tinggalan sejarah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan pemuliharaan menerusi inisiatif Warisan Kuala Lumpur menumpukan usaha menghidupkan semula tapak bersejarah supaya memberi manfaat ekonomi berasaskan budaya kepada rakyat.
Katanya, inisiatif tersebut merupakan antara strategi utama bagi meningkatkan kemasukan pelancong antarabangsa dan menggalakkan pergerakan pelancongan domestik selari dengan persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Warisan merupakan aset strategik yang mampu menjana kegiatan pelancongan, budaya seni, menggerakkan industri kreatif dan membuka peluang pekerjaan, serta mengukuhkan ekosistem perniagaan tempatan termasuk dalam kalangan peniaga kecil.
“Malaysia bukan sahaja dikenali kerana keindahan alam dan kepelbagaian serta kerencaman budaya, tetapi juga kerana kekuatan naratif sejarah dan peradaban.
“Lebih penting, ikhtiar ini mencerminkan hasrat bersama membina Kuala Lumpur yang moden, indah dan dinamik, namun berakar kepada sejarah dan nilai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) Fasa 1, semalam.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli menyempurnakan detik bersejarah tersebut.
Tambah Anwar, pemuliharaan kompleks itu merupakan antara usaha berterusan kerajaan bagi memelihara warisan negara yang bukan sekadar simbol fizikal masa lalu sebaliknya mampu membentuk kesedaran serta jati diri masyarakat merentas generasi.
Menurutnya, inisiatif berkenaan perlu bergerak seiring dengan pembangunan moden supaya kemajuan negara tidak memutuskan hubungan dengan akar sejarahnya.
“Menyingkap acara bersejarah, pemuliharaan bukan semata-mata usaha untuk mengulang nostalgia tetapi ikhtiar bagi memastikan sejarah negara.
“Dari Perlis sampai ke Sabah, harus sentiasa berakar segar, dijadikan pedoman, agar generasi kini dan generasi penerus tidak akan gelojoh dan tersasar daripada cita-cita dan idealisme murni perjuangan,” katanya. – UTUSAN






