SHAH ALAM: Perancangan dan pelaksanaan Rancangan Selangor Ke-2 (RSK2) disifatkan terlalu tertumpu kepada kawasan bandar sekali gus dibimbangi menyebabkan jurang yang lebih besar dengan daerah-daerah lain.
Kawasan seperti di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor dikatakan masih bergantung harap kepada sektor pertanian berbanding di wilayah yang sedia maju.
Nurul Syazwani Noh (PN-Permatang) berkata, sebuah rancangan pembangunan tidak boleh hanya dinilai berdasarkan besarnya sasaran ditetapkan, tetapi sejauh mana manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat tanpa mengira daerah tempat tinggal.
“Saya percaya antara sebab utama anak-anak muda meninggalkan kampung ialah kerana peluang pekerjaan berkualiti terlalu tertumpu di bandar. Kalau peluang ekonomi diwujudkan di luar bandar, anak muda akan kekal di kampung, ekonomi tempatan terus hidup, pendapatan isi rumah meningkat,” katanya dalam perbahasan RSK2 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di sini, semalam.
Jelasnya, ketika ini pendapatan isi rumah bagi bahagian Anjung Utara masih jauh ketinggalan seperti dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Median pendapatan isi rumah di Kuala Selangor hanyalah sekitar RM8,046, manakala di Sabak Bernam sekitar RM6,941. Itu jauh lebih rendah berbanding median pendapatan isi rumah Selangor sebanyak RM10,726.
“Justeru, saya berpandangan bahawa Kerajaan Negeri tidak boleh hanya menetapkan sasaran pendapatan median di peringkat negeri. Sebaliknya, Kerajaan Negeri juga perlu menetapkan sasaran pengurangan jurang pendapatan antara daerah,” tegasnya.
Dalam pada itu, Nurul Syazwani turut membangkitkan masalah perlesenan inap desa yang masih membelenggu pemilik-pemiliknya berikutan pelbagai isu birokrasi dihadapi mereka selain kesukaran syarat pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kerajaan Negeri sendiri mengiktiraf Koridor Agro-Pelancongan Utara. Tetapi mengapa sehingga hari ini pengusaha homestay masih berhadapan dengan pelbagai masalah birokrasi?
“Mengapa mereka masih bergelut dengan isu lesen, status tanah, syarat PBT dan pelbagai prosedur yang rumit? Saya ingin mengingatkan kerajaan negeri. Jangan gunakan acuan bandar untuk mengawal ekonomi kampung.
“Rumah kampung yang mempunyai empat bilik tidak boleh disamakan dengan hotel bertingkat. Agro-stay tidak boleh dinilai menggunakan piawaian yang sama seperti pembangunan komersial di bandar,” jelasnya. – UTUSAN






