MARAN: Kerajaan Pahang memberi subsidi sehingga RM255,000 bagi sebuah rumah Program Residensi Rakyat (PRR) apabila kediaman yang menelan kos pembinaan sehingga RM300,000 ditawarkan kepada rakyat pada harga hanya RM45,000.
Bantuan itu memberi peluang kepada 42 keluarga di Taman Sungai Kemap Indah di sini memiliki kediaman sendiri, sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri menjadikan pemilikan rumah mampu milik sebagai antara keutamaan agenda pembangunan rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, perbezaan besar antara kos pembinaan dengan harga yang dibayar penerima membuktikan komitmen kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah yang selesa dan berkualiti.
Beliau berkata, daripada 100 unit PRR Taman Sungai Kemap Indah, sebanyak 54 unit sudah diserahkan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), manakala 42 penerima menerima kunci pada majlis berkenaan.
Katanya, baki 46 unit masih belum dapat diserahkan berikutan isu keselamatan cerun yang memerlukan kerja pembaikan dan penstabilan terlebih dahulu dan kerja berkenaan dijangka siap tahun ini.
“Isu kestabilan cerun ini berpunca daripada perubahan keadaan Monsun Timur Laut pada 2021 yang menjejaskan kawasan berkenaan. Kerja pembaikan dan penstabilan cerun dikawal selia Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dilaksanakan kontraktor Danau Baru Sdn Bhd,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci PRR Taman Sungai Kemap Indah di sini hari ini.
Menurut Mohd. Fakhruddin, kelewatan penyerahan baki unit bukan berpunca daripada masalah pembinaan rumah, sebaliknya faktor keselamatan cerun perlu diberi keutamaan bagi memastikan kediaman yang diserahkan benar-benar selamat kepada penduduk.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sehingga Jun 2026, kerajaan negeri meluluskan pelaksanaan Skim Perumahan Negeri Pahang membabitkan 54,069 unit rumah dengan nilai pembangunan dianggarkan RM5.6 bilion.
Daripada jumlah itu, 29,759 unit berjaya disiapkan dengan nilai jualan keseluruhan RM2.28 bilion, manakala nilai pasaran semasa kediaman berkenaan dianggarkan mencecah RM5 bilion. – UTUSAN






