KUANTAN: Tindakan mengejut peguam menarik diri daripada mengendalikan kes-kes perbicaraan profil tinggi di Mahkamah Sivil sering kali mencetuskan tanda tanya dan polemik tentang etika serta integriti profesion guaman negara.
Sewaktu kod etika sivil sedia ada memberi ruang kepada penarikan diri atas faktor teknikal dan profesional, sistem perundangan negara dilihat memerlukan anjakan paradigma menerusi Pendekatan Nabawi.
Ia merupakan sebuah metodologi yang meletakkan ketakutan kepada Allah SWT dan pembongkaran kebenaran mengatasi segala-gala, sekali gus mempersoalkan semula sempadan moral seorang peguam sivil pada hari ini.
Pensyarah Kulliyyah Syariah dan Undang-Undang Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS), Dr. Mohammad Ramzi Zakaria menegaskan bahawa, sampai masanya sistem perundangan sivil negara perlu beranjak kepada paradigma baharu dengan mengintegrasikan nilai rahmah, keadilan dan kemaslahatan berasaskan Pendekatan Nabawi.
Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja menekankan aspek teknikal perundangan, malah mengangkat hikmah dan kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW dalam menyelesaikan konflik dengan penuh empati serta keadilan sejagat.
“Pendekatan Nabawi menuntut peguam dan hakim untuk meletakkan ketakutan kepada Allah SWT sebagai asas, sekali gus memastikan kebenaran dibongkar tanpa kompromi terhadap integriti,” katanya kepada Nexbyte.
Dr. Mohammad Ramzi berkata, prinsip ini dapat dilihat dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah apabila Nabi Muhammad SAW menerima pandangan Ummu Salamah untuk bertindak terlebih dahulu sebelum para sahabat mengikutinya, sekali gus meredakan ketegangan dengan penuh hikmah.
“Nilai empati dan psikologi halus yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW itu wajar dijadikan panduan dalam sistem sivil, khususnya ketika berdepan kes melibatkan tekanan emosi dan kepentingan keluarga,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Kulliyyah Al-Quran dan Al-Sunnah UNIQSAAS, Abu Dzar Ahmad menekankan bahawa prinsip keadilan Islam bersifat universal dan inklusif, sesuai dengan realiti masyarakat majmuk di Malaysia.
“Islam menolak sikap pilih kasih dalam melaksanakan undang-undang. Nabi Muhammad SAW sendiri menegaskan bahawa sekiranya Fatimah Muhammad mencuri, baginda tetap akan melaksanakan hukuman hudud ke atasnya,” katanya merujuk hadis sahih riwayat Muslim.
Abu Dzar menambah, prinsip ini jelas menunjukkan bahawa keadilan Islam tidak mengenal status sosial atau kedudukan, malah menolak diskriminasi dalam pelaksanaan hukum.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan Nabi Muhammad SAW dalam menangani pertikaian, seperti sabda baginda bahawa keputusan yang diberikan berdasarkan hujah yang lebih kuat tidak semestinya menggambarkan kebenaran mutlak, menjadi asas penting dalam memahami etika guaman sivil.
“Pendekatan ini mengingatkan bahawa setiap keputusan mahkamah perlu berpaksikan kepada keadilan sebenar, bukan sekadar kemenangan teknikal pihak yang lebih bijak berhujah,” katanya.
Kedua-dua pensyarah itu sependapat bahawa sistem sivil negara perlu memperkukuhkan nilai rahmah dan hikmah dalam pembentukan polisi undang-undang, sekali gus memupuk semula sempadan moral dalam profesion guaman.
“Pendekatan Nabawi adalah model yang adil, seimbang dan inklusif. Ia bukan sahaja relevan dalam konteks masyarakat Islam, tetapi juga mampu menjadi kerangka universal untuk masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia,” ujar mereka. – UTUSAN






