TEMERLOH: Sekurang-kurangnya seorang dipercayai maut selepas sebuah lori tangki muatan 32,000 liter bahan api terbalik dan menghempap sebuah kereta sebelum klterbakar di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang di sini petang ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam tentang kejadian itu kira-kira pukul 4.30 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori tangki berkenaan dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Temerloh sebelum dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
“Pada masa sama, sebuah kereta dipercayai jenis Perodua Bezza bertembung dengan bahagian sisi lori tangki berkenaan sebelum kedua-dua kenderaan terbakar. Pemandu lori, seorang lelaki Melayu berusia 37 tahun, berjaya menyelamatkan diri dan mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Nasyim berkata, pemandu dan penumpang kereta berkenaan pula dipercayai gagal menyelamatkan diri dan berkemungkinan rentung dalam kebakaran.
Bagaimanapun, katanya, pihak polis masih belum dapat mengesahkan jumlah sebenar mangsa dan identiti mereka berikutan keadaan kereta yang remuk dan terbakar teruk.
“Api mengambil sedikit masa untuk dipadamkan berikutan lori berkenaan membawa bahan mudah terbakar. Pihak polis bersama bomba masih berada di lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan dan mendapatkan pengesahan jumlah serta identiti mangsa,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu lori tangki berkenaan akan ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan lanjut termasuk jumlah sebenar mangsa akan dimaklumkan selepas proses pemeriksaan dan pengesahan selesai dijalankan. – UTUSAN






