KUALA SELANGOR: Syarikat Pasaraya BSK Sdn. Bhd. (BS Freshmart) bersama anak syarikatnya menyasarkan kutipan sebanyak RM1.25 bilion melalui pembukaan tambahan lima cawangan pasar raya tahun ini.
Pengarah Urusannya, Mohd. Rasul Razuan berkata, beliau optimis dengan sasaran tersebut apabila jualan pasar raya itu direkodkan melepasi sasaran RM1 bilion pada tahun lalu.
Katanya, bermula dengan pembukaan cawangan pertama di Tanjung Gemok, Pahang pada 2008, syarikat itu mula berkembang dengan menetapkan sasaran untuk membuka lebih 30 cawangan di seluruh negara.
“BS Freshmart setakat ini sudah membuka 16 cawangan di Pahang; tiga di Terengganu; dua di Johor; empat di Selangor; dan masing-masing satu di Kelantan dan Perak.
“Pelaburan di Puncak Alam pula melibatkan perbelanjaan sebanyak RM6.9 juta,” katanya, kepada pemberita, ketika pembukaan rasmi BS Freshmart, hari ini.
Selain di Puncak Alam, cawangan di Selangor turut beroperasi di Rawang, Taman TTDI Jaya, dan Kuala Selangor, dengan cawangan di Banting dijangka beroperasi dalam masa terdekat, sementara dua di Pahang iaitu Bukit Setongkol dan Batu Enam dijangka beroperasi seawal Mac ini.
Pengukuhan BS Freshmart dalam pasaran borong dan runcit katanya turut dibantu dengan program bantuan tunai kerajaan melalui skim Mykasih dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang menyumbang sekitar tujuh peratus daripada hasil syarikat.
“Selain itu, kami turut menyediakan ruang sehingga 30 peratus untuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memasarkan produk mereka di BS Freshmart,” katanya. – UTUSAN






