PETALING JAYA: Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City berpotensi melepasi sasaran pelaburan RM2 bilion tahun ini susulan sambutan menggalakkan yang diterima sejak kawasan itu diperkenalkan sebagai zon khas tersebut.
Sehingga kini, sebanyak 260 pertanyaan daripada pelabur yang berminat mengenai SFZ Forest City diterima Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) dengan 48 pertanyaan direkodkan pada tahun ini sehingga April.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Natazha Harris berkata, berdasarkan taklimat rasmi sebelum ini, IMFC-J menerima lebih 200 pertanyaan daripada pelabur yang berminat berkaitan SFZ Forest City sejak ia dilancarkan.
“Walaupun tidak semua pertanyaan tersebut diterjemahkan kepada pelaburan yang disahkan setakat ini, beberapa syarikat difahamkan kini berada pada peringkat akhir rundingan dan sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan.
“Nilai potensi pelaburan yang sedang dibincangkan dianggarkan mencecah bilion ringgit, khususnya dalam sektor perkhidmatan kewangan, ekonomi digital, teknologi hijau dan perkhidmatan bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini SFZ Forest City yang dipromosikan sebagai hab kewangan global bagi pelabur antarabangsa.
Selain itu, katanya, semakin banyak syarikat yang terlibat dalam teknologi kewangan, pengurusan kekayaan, perkhidmatan perniagaan serantau dan teknologi bandar pintar menunjukkan minat untuk meneroka peluang di kawasan berkenaan.
“Tenaga boleh diperbaharui (RE), pengurusan karbon dan pembangunan bandar mampan juga semakin mendapat perhatian.
“Ini terutamanya apabila pelabur global kini memberi penekanan yang lebih besar terhadap aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Lokasi strategik Forest City yang berdekatan Singapura, kos operasi yang kompetitif serta peluang memanfaatkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem digital dan kewangan serantau juga menjadi antara faktor utama yang menarik minat pelabur,” jelasnya.
Natazha yang turut memainkan peranan dalam transformasi ekonomi Johor berkata, pelabur kini menilai Forest City dalam konteks ekonomi yang lebih luas dan strategik,bukan lagi sekadar projek pembangunan hartanah.
“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Johor turut memperkukuhkan keyakinan pelabur menerusi pelaksanaan pelbagai insentif, mekanisme pemudah cara serta kerjasama ekonomi Malaysia-Singapura yang semakin erat.
“Walaupun terdapat cabaran namun perubahan naratif daripada pembangunan berteraskan hartanah kepada hab ekonomi kewangan dan digital yang berorientasikan masa depan semakin mendapat perhatian dan keyakinan dalam kalangan pelabur serta pemain industri,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa Invest Johor tidak melihat Forest City sebagai pesaing langsung kepada Singapura, Dubai atau Hong Kong sebagai hab kewangan sebaliknya menjadi pelengkap serantau yang menawarkan nilai dan kelebihan yang berbeza.
“SFZ Forest City juga berada pada kedudukan yang ideal untuk memenuhi keperluan syarikat yang ingin mengembangkan operasi, menubuhkan pusat serantau serta merebut peluang dalam ekonomi digital yang berkembang pesat.
“Ia berbeza dengan hab kewangan yang sudah matang yang mempunyai kos operasi jauh lebih tinggi, SFZ Forest City menawarkan persekitaran perniagaan yang lebih menjimatkan kos tanpa menjejaskan tahap keterhubungan serantau,” ujarnya.
Pada masa sama, Invest Johor dan IMFC-J akan terus memperkukuh keyakinan pelabur melalui pelaksanaan dasar yang lebih jelas serta pakej insentif yang lebih tersusun dan mudah diakses di bawah inisiatif SFZ yang kini diletakkan di bawah inisiatif JS-SEZ. – UTUSAN




