JAKARTA: Sekurang-kurangnya 800 orang di wilayah Sulawesi Utara di Indonesia dipindahkan selepas letusan Gunung Berapi Ruang memuntahkan awan lahar dan abu ke langit.
Gunung berapi itu, yang terletak di pulau Ruang kira-kira 100 kilometer (km) dari ibu kota wilayah Manado meletus lebih tiga kali sejak semalam.
Pegawai Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), Heruningtyas Desi Purnamasari berkata, pihak berkuasa meningkatkan amaran ke tahap kedua tertinggi berikutan peningkatan aktiviti gunung berapi tersebut.
“Letusan Gunung Ruang dicetuskan oleh gempa bumi baru-baru ini di pulau itu, mengeluarkan awan panas berbaaya setinggi 1.8km ke langit.
“Kita mesti mengosongkan pulau itu kerana kita menjangkakan akan ada lebih banyak letusan. Tiada aktiviti dibenarkan dalam jarak empat kilometer dari kawah,” katanya.
Rakaman yang dilihat oleh Reuters menunjukkan aliran lava merah mengalir menuruni gunung ke kawasan perairan di bawahnya dengan awan abu tebal berkepul-kepul di atas kawahnya.
Menurut Heruningtyas, Pulau Ruang menempatkan kira-kira 840 penduduk yang kebanyakannya sudah dipindahkan ke kawasan terdekat di Pulau Tagulandang.-REUTERS






